Monday, May 20, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    Sijil Halal: Syarikat dikesan lakukan kesalahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Pemilik sebuah syarikat telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 17 Disember lalu atas pertuduhan gagal menghadapkan permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal bagi premis perniagaannya Kampung Kiulap.

    Sofian Mohammad Amin @ Sylvester Chieng Seng Hong, pemilik Syarikat Otto, dikenakan hukuman denda $2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

    Mahkamah Majistret telah mensabitkan tertuduh melakukan kesalahan di bawah Bab 4(5), Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017 kerana gagal membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal yang mana berdasarkan Bab 4(1), daripada perintah yang sama bahawa permohonan sijil halal bagi mana-mana syarikat perniagaan makanan di negara ini adalah diwajibkan.

    Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dalam operasi yang dijalankan pada 15 Jun lalu oleh pegawai-pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) telah mendapati syarikat tertuduh belum menghadapkan permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal walaupun setelah dikeluarkan notis arahan pada 26 September 2020 dan surat amaran pada 29 Mac 2021.

    Oleh itu, KHEU memperingatkan semua pemilik syarikat perniagaan makanan dan restoran di negara ini yang belum membuat sebarang permohonan Sijil Halal untuk melakukannya dengan segera kepada Majlis Ugama Islam melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah dalam tempoh enam bulan perniagaan mereka beroperasi.

    Kegagalan mematuhi kewajipan untuk membuat permohonan akan diambil tindakan undang-undang dengan hukuman jika sabit, denda sehingga $8,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    BKMH, Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

    Sebarang aduan serta perkongsian maklumat mengenai pelanggaran undang-undang dan peraturan pensijilan halal di negara ini, orang ramai bolehlah menghubungi terus Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui BKMH dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    17,000 warga emas di Jepun meninggal dunia sendirian di rumah

    TOKYO, 19 MEI - Satu tinjauan terkini oleh Agensi Polis Kebangsaan Jepun (NPA) menunjukkan bahawa 17,034 warga emas yang tinggal bersendirian telah meninggal dunia...