SINGAPURA, 21 JAN – Lebih 9,000 pesakit jantung di Singapura bakal mendapat manfaat daripada Heartlanders, suatu program baharu bernilai kira-kira AS$4.81 juta yang menyepadukan penjagaan paliatif awal.
Dilancarkan kelmarin oleh pertubuhan dermawan Lien Foundation dan Pusat Jantung Nasional Singapura, inisiatif itu menawarkan sokongan lebih awal dalam memberi rawatan dan bukannya pada akhir hayat.
Sejak diperkenalkan pada April 2024, 38 pesakit telah mendaftar.
Kegagalan jantung menjejaskan empat hingga lima peratus rakyat Singapura, jauh lebih tinggi daripada purata global, lapor media tempatan.
Di bawah program Heartlanders, pesakit menerima pelan penjagaan peribadi dan bimbingan untuk menguruskan gejala, meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kemasukan ke hospital.
Program berkenaan juga menangani salah tanggapan tentang penjagaan paliatif yang sering dilihat sebagai rawatan akhir hayat. Tinjauan 2024 mendapati 62 peratus responden di Singapura percaya ia terhad kepada enam bulan terakhir kehidupan.
Penjagaan paliatif sebenarnya membantu pesakit memberi tumpuan kepada keutamaan hidup dan menyelaraskan rawatan dengan matlamat mereka, menurut Genevieve Wong, ketua perkhidmatan sosial perubatan di pusat itu. – Xinhua