Saturday, October 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suruhanjaya Eropah saman Hungary, dakwa langgar hak asasi

    BRUSSELS, 4 OKT – Suruhanjaya Eropah memutuskan kelmarin untuk membawa Hungary ke mahkamah atas dakwaan pelanggaran hak asasi Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Langkah itu diambil selepas Budapest gagal menghilangkan kebimbangan mengenai undang-undang baharu Hungary yang bertujuan untuk mengehadkan pembiayaan asing bagi kempen politik, menurut satu kenyataan akhbar.

    Pengumuman itu adalah yang terbaharu dalam siri teguran terhadap Hungary, yang mana kerajaan nasionalis Perdana Menteri, Viktor Orban sering dikritik oleh suruhanjaya itu kerana dasar-dasar yang bersifat mengekang.

    Suruhanjaya itu mengesyaki undang-undang berkenaan melanggar kebebasan bersuara, anggapan tidak bersalah dan beberapa prinsip pasaran dalaman EU.

    Rang Undang-undang itu memperluaskan larangan sedia ada terhadap pembiayaan a-sing untuk parti politik kepada persatuan dan organisasi lain. Jika disabitkan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun.

    Jika Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) memihak kepada suruhanjaya, Hungary sekali lagi mungkin dikenakan denda berat.

    Ahli Parlimen EU dari Jerman, Daniel Freund, mengalu-alukan keputusan suruhanjaya itu, yang disifatkannya sebagai langkah yang betul dan sudah lama tertangguh. “Undang-undang ini diambil terus daripada buku teks Presiden Rusia, Vladimir Putin dan digunakan secara khusus terhadap masyarakat sivil di Hungary,” dakwa Freund.

    ECJ telah mengenakan denda AS$221 juta pada Jun lepas atas pelanggaran undang-undang suaka EU. Memandangkan Budapest telah terlepas tarikh akhir untuk membayar denda, suruhanjaya memutuskan untuk menolak jumlah berkenaan daripada dana EU untuk Hungary. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda