Monday, May 20, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Tiga maut, 1,000 rumah musnah dalam gempa Papua New Guinea

    SYDNEY, 25 MAC – Media tempatan melaporkan hari ini bahawa tiga orang maut dan dianggarkan 1,000 kediaman musnah selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud menggegarkan Papua New Guinea (PNG) pada hujung minggu.

    Data Kajian Geologi Amerika Syarikat menunjukkan bahawa gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda bahagian utara negara pulau Pasifik itu pada kira-kira 6:22 pagi waktu tempatan kelmarin.

    Dengan kedalaman 40.2km, pusat gempa berada pada 4.139 darjah latitud selatan dan 143.159 darjah longitud timur, terletak kira-kira 38 kilometer dari timur laut Ambunti.

    Beberapa kawasan di wilayah Sepik Timur PNG, termasuk Ambunti dan Wewak, menerima kesan teruk akibat gempa itu.

    Menurut Xinhua, akhbar harian PNG, Post Courier, mendedahkan bahawa bencana itu telah meragut tiga nyawa setakat ini, termasuk seorang ibu dan anaknya di kampung Jikinumbu dan seorang kanak-kanak lelaki di kampung Sotmeri.

    Sekurang-kurangnya 1,000 kediaman musnah selepas gempa bumi melanda sebahagian wilayah Sepik Timur, yang sudah pun terjejas akibat banjir, menurut akhbar PNG, The National.

    Stanley Samban, ahli parlimen PNG yang mewakili Wewak, juga memberitahu akhbar itu bahawa jambatan yang menghubungkan Moem Barracks ke Wewak runtuh, yang menghalang akses Pasukan Pertahanan PNG ke bandar itu. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...