Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga tahanan warganegara Malaysia diterbangkan ke Manila hari ini

    KOTA KINABALU, 5 SEPT – Seramai 11 individu termasuk tiga warganegara Malaysia yang ditahan selepas disyaki memasuki perairan Filipina secara haram Ahad lalu akan diterbangkan ke Manila, Filipina, esok.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka dihantar ke Manila untuk proses dokumentasi, sebelum pengusiran dilakukan pihak berkuasa Filipina.

    “Selebihnya empat lagi warganegara Malaysia masih ditahan di selatan Filipina untuk proses siasatan pemilikan bot. Kes memasuki perairan Filipina itu melibatkan bot, jadi kerajaan di sana menahan bot berkenaan dan akan mengetahui siapa pemilik bot berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024, dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

    Pada Ahad, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China, selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.

    Memetik laporan Philippines News Agency (PNA), Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina Norman Tansingco, melalui kenyataan berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.

    Sementara itu, mengulas mengenai konvensyen berkenaan Saifuddin berkata program kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan Sabah itu menggambarkan sinergi strategik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, dalam usaha menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa secara lebih berkesan dan bersasar.

    “Melalui Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) yang dipengerusikan oleh saya dan Ketua Menteri Sabah, beberapa perbincangan penting telah diadakan dalam menangani isu Pendatang Tanpa Izin. – Bernama

    Hajiji Noor dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa memperkenalkan buku Garis Panduan Membanteras Buruh Paksa dan Buruh Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sabah pada Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa 2024 di SICC, Kota Kinabalu pada 5 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda