MIRI, 20 JAN – Two Offshore Marine Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan dan penyelesaian luar pesisir yang sepenuhnya milik Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Databayu Enterprise Sdn Bhd iaitu penyedia perkhidmatan katering luar pesisir, logistik dan sokongan yang dikenali.
Two Offshore Marine dalam satu kenyataan hari ini berkata, majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan di ibu pejabat Databayu Enterprise di sini.
Two Offshore Marine merupakan penyedia perkhidmatan dan penyelesaian luar pesisir yang diiktiraf kerana kecemerlangan dan kualitinya dalam industri minyak dan gas (O&G) Malaysia.
“Usaha sama ini merupakan titik peralihan yang penting dalam industri O&G Malaysia kerana menggabungkan pengalaman, sumber serta visi bersama dua peneraju industri untuk memacu inovasi dan penyelesaian luar pesisir yang cekap,” kata syarikat berkenaan.
Kerjasama itu bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan sokongan dan logistik luar pesisir yang boleh dipercayai di rantau ini, seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kepakaran dalam sektor O&G.
Sementara itu, Pengarah Two Offshore Marine, Gunaseelan Kuppusamy pada majlis menandatangani perjanjian tersebut meluahkan keterujaannya mengenai usaha sama baharu ini sambil menekankan sinergi yang terbentuk di antara kedua-dua syarikat. – Bernama