Thursday, January 30, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO gesa AS terus sokong program rawatan HIV

    GENEVA, 29 JAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk mempertimbangkan semula keputusannya untuk menghentikan pembiayaan bagi program rawatan HIV di negara-negara membangun, selepas Presiden Donald Trump mengarahkan pembekuan bantuan luar negara.

    “Kami menyeru kerajaan AS untuk membenarkan pengecualian tambahan bagi memastikan penyampaian rawatan dan penjagaan HIV yang menyelamatkan nyawa,” kata badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu melalui platform X, sambil menambah bahawa mereka mempunyai ‘kebimbangan mendalam’ mengenai pemberhentian pembiayaan tersebut.

    Tidak lama selepas pelantikan Trump, beliau menandatangani arahan eksekutif yang mengarahkan AS untuk menarik diri daripada WHO, sebuah badan yang sering dikritik olehnya berhubung pengurusan pandemik COVID-19.

    Sebagai respons, WHO berkata mereka sedang menilai semula keutamaan mereka menjelang penarikan diri AS, penyumbang terbesar mereka.

    Berkenaan dengan HIV, agensi itu berkata program-programnya memberikan akses kepada ‘terapi HIV yang menyelamatkan nyawa kepada lebih daripada 30 juta orang di seluruh dunia’.

    WHO menegaskan bahawa pemotongan dana AS, ‘jika diteruskan, boleh menyebabkan peningkatan jangkitan baharu dan kematian, membalikkan kemajuan yang telah dicapai selama beberapa dekad dan berpotensi membawa dunia kembali ke era 1980an dan 1990an apabila jutaan orang maut akibat HIV setiap tahun di seluruh dunia, termasuk ramai penghidap HIV di AS. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda