Tuesday, September 10, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 spesies haiwan dan tumbuhan dalam senarai spesies terancam Australia

    CANBERRA, 7 OGOS – Pencinta alam menyeru undang-undang yang lebih ketat bagi melindungi biodiversiti Australia setelah 13 spesies haiwan dan tumbuhan ditambah ke
    dalam senarai spesies terancam negara itu.

    Kemaskini terbaharu bagi senarai flora dan fauna terancam, diselia oleh Jabatan Perubahan Iklim, Tenaga, Alam Sekitar dan Air (DCCEEW) menyenaraikan lapan spesies haiwan dan lima tumbuhan.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan spesies yang diiktiraf kerajaan sebagai terancam kepada 2,224.

    Antara haiwan yang tersenarai dalam kemaskini terbaharu itu adalah tiga spesies ikan air tawar tiga spesies cicak dan satu katak.

    Sebagai respons kepada senarai yang dikemaskini, Yayasan Konservasi Australia (ACF) memaklumkan bahawa setiap haiwan yang baru disenaraikan dikategori sebagai terancam akibat pemusnahan atau kemerosotan habitat.

    Gambar Freepik

    Hunter Valley delma, cicak tanpa kaki yang kali pertama diiktiraf sebagai spesies pada 2022, telah disenaraikan sebagai terancam.

    Darcie Carruthers dari ACF berkata bahawa 90 peratus daripada julat yang diketahui terjejas akibat aktiviti perlombongan dan pertanian.

    “Australia mempunyai spesies reptilia terbanyak di dunia dan lebih 90 peratus daripadanya tidak ditemui di tempat lain, jadi amat menyedihkan melihat tiga lagi spesies cicak ditambah ke dalam senarai,” katanya.

    Beliau berkata Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar (EPA) perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat.

    Menurut ACF, lebih banyak spesies disenarai ke dalam senarai terancam pada 2023 berbanding tahun sebelumnya sejak ia ditubuhkan pada 1992. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda