RAMALLAH, 6 FEB – Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Palestin kelmarin mengumumkan 226 tapak arkeologi di Semenanjung Gaza rosak akibat sasaran tepat Israel.
Kementerian itu membuat pengumuman tersebut dengan kerjasama Pusat Pemeliharaan Warisan Budaya sebagai sebahagian laporan bertajuk Inventori Kerosakan dan Risiko kepada Tapak Warisan Budaya di Gaza, yang menilai kerosakan yang ditanggung akibat keganasan Israel, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Laporan itu disediakan bersama oleh 13 pakar Palestin dengan kerjasama pasukan dari Universiti Oxford selama setahun dan ia meneliti 316 tapak warisan budaya di Gaza yang merangkumi tapak arkeologi, bangunan warisan, muzium, bangunan agama, tanah perkuburan bersejarah, kawasan budaya, tapak semula jadi dan mercu tanda, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Hani Al-Hayek.
Bercakap di ibu pejabat kementerian di Ramallah, menteri itu berkata laporan itu berdasarkan kajian lapangan yang teliti terhadap semua tapak, analisis imej satelit, pengumpulan data dan penciptaan model tapak individu. Maklumat ini kemudiannya dianalisis untuk menilai sejauh mana kerosakan yang berlaku.
Laporan itu mendapati daripada 316 tapak, 138 mengalami kerosakan besar, 61 lagi mengalami kerosakan sederhana, 27 mengalami kerosakan ringan dan 90 tiada kerosakan.
Ia menganggarkan belanjawan yang diperlukan untuk pemulihan sektor warisan budaya berjumlah €261.15 juta, yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa selama lapan tahun.
Fasa 1 melibatkan campur tangan segera untuk menyelamatkan dan menyokong tapak yang terancam dan memerlukan €31.2 juta. Fasa 2 melibatkan campur tangan yang perlu untuk memulihkan dan membaik pulih tapak yang terancam sebahagiannya dan memerlukan €96.72 juta. Fasa 3 memfokuskan pada pembinaan semula tapak yang terancam, memerlukan €133.23 juta.
Al-Hayek berkata tapak arkeologi sejarah adalah sebahagian daripada sejarah dan identiti rakyat Palestin di tanah Palestin, sambil berkata Israel menyasarkan tapak-tapak ini secara sengaja sekali gus menghapuskan dan memusnahkan bahagian penting yang menjadi antara asas utama identiti Palestin. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P20-1A_07022025.jpg)