RASULULLAH Salallahu Alaihi Wasallam bersabda:
“Sesungguhnya Allah menyukai (hambaNya) bersin dan tidak menyukai (hambaNya) menguap.” (Riwayat Al-Bukhari)
Menguap bukanlah dibenci Allah, tetapi tidak disukaiNya kerana menguap cenderung melemahkan dan melesukan tubuh badan untuk beribadah yang berpunca daripada banyak makan. Oleh itu Rasulullah ada mengajarkan kita tiga adab menguap yang boleh dipratikkan.
Inilah Islam yang mengatur dan menitikberatkan adab dalam seluruh kehidupan manusia walaupun sekecil-kecil perkara.
Alangkah indahnya hidup seorang Muslim yang memilih Islam sebagai cara hidup yang memberi panduan dalam setiap urusan kehidupannya. Antara adab menguap yang diajarkan oleh Rasulullah:
1-Berusaha menahan diri daripada menguap
Menguap tidak dapat dielakkan kerana ia tindak balas semula jadi badan manusia. Oleh itu perbaiki corak pemakanan, cara pernafasan dan keaktifan tubuh kerana menguap petanda negatif tubuh kita kelesuan akibat kekurangan oksigen dan peredaran darah tidak lancar.
Maka apabila menguap berusahalah menahannya. Jika tidak mampu, jangan sampai mengeluarkan suara ataupun menggeliat badan.
2- Meletakkan tangan di mulut
Seperti yang diriwayatkan oleh Muslim, ini merupakan cara yang diajarkan oleh Rasulullah bagi melindungi ‘syaitan’ daripada masuk ke dalam mulut yang terbuka. Huraian para ulama ‘syaitan’ yang dimaksudkan ialah penyakit.
Jika dilihat dari sudut perubatan moden, mulut manusia yang menguap akan mengeluarkan virus penyakit berjangkit. Jadi, hikmah adab ini bagi melindungi kita dan orang lain daripada penyakit tersebut.
3-Hentikan bacaan Al-Quran
Bagi mengelakkan daripada berubahnya sebutan huruf Al-Quran yang boleh menyebabkan maknanya berubah, maka dianjurkan agar berhenti membaca Al-Quran ketika menguap. Dan diulangi kembali ayat tersebut.
Keburukan menguap
Nabi SAW bersabda:
“Bersin itu daripada Allah dan menguap itu daripada syaitan. Jika salah seorang daripada kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya. Jika ia katakan ‘aaah’, maka syaitan tertawa di dalam perutnya. Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap.” (Riwayat Al-Tirmizi)