Monday, May 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    45 qari, 23 qariah sertai musabaqah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Seramai 45 qari dan 23 qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada Pertandingan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H/2024M Peringkat Saringan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 10 Mei di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, di sini.

    Musabaqah tersebut merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang dikelolakan oleh Jabatan Belia dan Sukan sejak tahun 1980an dan telah berjaya melahirkan ramai qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

    Ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.

    Sebelumnya, para peserta tersebut telah mengikuti Bengkel Kemahiran Al-Quran (KIA) selama dua hari yang bertujuan untuk memberikan latihan bagi menghalusi lagi bacaan Al-Quran dengan penekanan aspek-aspek penting dalam bidang taranum Al-Quran termasuk lagu, suara, fasahah dan tajwid.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 30 peserta teratas yang mempunyai markah 80 peratus ke atas layak ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada 19 Mei 2024 dan seterusnya lima qari dan lima qariah termasuk johan menunggu qari dan qariah 2023 akan bertanding di peringkat akhir pada 6 Jun nanti.

    Peserta musabaqah berumur antara 15 hingga 30 tahun terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap dan tidak pernah menjadi johan pertandingan-pertandingan seperti Majlis Tilawah Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran Kerajaan Malaysia atau Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.

    ATAS & BAWAH: Antara qari dan qariah yang memperdengarkan bacaan semasa pertandingan itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    17,000 warga emas di Jepun meninggal dunia sendirian di rumah

    TOKYO, 19 MEI - Satu tinjauan terkini oleh Agensi Polis Kebangsaan Jepun (NPA) menunjukkan bahawa 17,034 warga emas yang tinggal bersendirian telah meninggal dunia...