Monday, May 20, 2024
34.6 C
Brunei

    -

    70 sertai forum anjuran SHENA

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Walaupun laporan daripada Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) mengatakan sebanyak 39.9 peratus tenaga kerja di negara ini terdiri daripada kaum wanita, tetapi berdasarkan data Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) setakat ini, hanya sebanyak 21 peratus pegawai ke-
    selamatan dan kesihatan tempat kerja dan 16 peratus penyelaras keselamatan dan kesihatan tempat kerja yang berdaftar di bawah SHENA terdiri daripada kalangan kaum wanita.

    Perangkaan itu dikongsi oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sementara SHENA, Haji Mohd Yusof bin Haji Mohd Taufik dalam kata alu-aluannya semasa Forum Memperkasakan Wanita dalam Keselamatan dan Kesihatan yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

    Hadir dan menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib sebagai ahli Lembaga Pengarah SHENA.

    Forum itu dihadiri oleh kira-kira 70 orang peserta terdiri daripada pekerja dan kakitangan dari pejabat-pejabat di Taman Teknologi Anggerek Desa serta pegawai dan penyelaras keselamatan dan kesihatan tempat kerja yang berdaftar dengan SHENA.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, Haji Mohd Yusof menekankan bahawa perwakilan wanita di jabatan-jabatan dan jawatankuasa adalah penting untuk memastikan perlindungan yang memadai bagi keselamatan serta kesihatan kaum wanita.

    Dayang Nurul Zakiah menyampaikan pembentangan semasa forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara peserta yang hadir semasa forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Satu contoh, jelasnya, adalah kemasukan pekerja wanita sebagai sebahagian daripada kumpulan pengurusan risiko untuk memastikan penilaian risiko yang komprehensif dengan mengambil kira bahaya, risiko dan kawalan yang perlu bagi golongan rentan seperti wanita yang mengandung.

    Forum seterusnya menyaksikan pembentangan bertajuk Pematuhan Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 yang Inklusif Wanita disampaikan oleh Pegawai SHENA, Dayang Nurul Zakiah binti Haji Mohd Taib.

    Forum disemarakkan dengan sesi pembentangan panel yang mengetengahkan Pengarah Pejabat Perancangan Tenaga Manusia, JPM, Dr Hajah Haziah binti POK Saiful Mulok DSP Haji Abidin mengenai Kesihatan dan Keselamatan sebagai Laluan Kerjaya bagi Wanita; Pengurus HSE, TotalEnergies EP (Brunei) BV, Dayang Salawati binti Kassim mengenai Pertimbangan Khusus Keselamatan dan Kesihatan bagi Wanita di Tempat Kerja; dan Pengurus HSE, Berakas Power Company Sdn Bhd, Dayang Siti Nuranati binti Haji Saman mengenai Peranan Organisasi dalam Memastikan Penjagaan Keselamatan dan Kesihatan Wanita di Tempat Kerja.

    Kemudian, forum menyaksikan perbincangan interaktif bersama panel dengan berkongsi idea me-ngenai peranan tempat kerja dalam perlindungan keselamatan dan kesihatan wanita, cara-cara untuk menggalakkan wanita menyertai bidang keselamatan dan kesihatan serta aspirasi masa depan bagi wanita dalam keselamatan dan kesihatan di negara ini.

    Forum bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai penglibatan kaum wanita dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, menyediakan platform untuk mengongsi pengalaman dan amalan terbaik serta memberikan inspirasi dan menggalakkan kaum wanita untuk menyumbang secara aktif terhadap pembangunan sektor keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Negara Brunei Darussalam.

    Ia adalah selaras dengan tema Hari Wanita Sedunia 2024 iaitu Inspire Inclusion.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lai Ching-te dilantik sebagai presiden Taiwan

    TAIPEI, 20 MEI - Lai Ching-te mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan pada Isnin, memulakan penggal di mana beliau dijangka meneruskan dasar kemerdekaan de...