Penyanyi dan pelakon Beyonce menempa sejarah tersendiri selepas memenangi kategori Album Terbaik melalui album Cowboy Carter buat pertama kali pada Anugerah Grammy ke-67 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada malam Ahad.
Beyonce mengaku tidak pernah menjangka kemenangan itu dan mahu terus menjadi inspirasi buat mereka yang ingin mengejar cita-cita, memetik laporan daripada BH Online.
“Saya benar-benar tidak menjangka kemenangan ini. Kadangkala, genre hanyalah kata lain untuk menempatkan kita dalam batasan sebagai artis.
“Saya hanya ingin memberi semangat kepada semua untuk terus mengejar apa yang mereka minati dan kekal berusaha tanpa henti.
“Saya masih terkejut… Terima kasih banyak atas penghormatan ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Grammy, setiap penulis lagu, setiap kolaborator, setiap penerbit untuk segala kerja keras yang sudah diberikan,” katanya ketika berucap di atas pentas.
Walaupun sebelum ini, bintang pop itu pernah menegaskan bahawa bingkisannya itu bukanlah album bergenre country, namun, Cowboy Carter mencatat tangga juara dalam carta Country Billboard.
Beyonce mencipta sejarah sebagai wanita kulit hitam pertama yang menduduki tempat pertama dalam carta Top Country Albums menerusi album Act II: Cowboy Carter.
Dengan kejayaan itu, Cowboy Carter menumpaskan calon-calon yang juga album country lain iaitu Higher (Chris Stapleton), Deeper Well (Kacey Musgraves), Whirlwind (Lainey Wilson) dan F-1 Trillion (Post Malone).
Sementara itu, Taylor Swift, Sabrina Carpenter dan Chappell Roan mempunyai enam pencalonan, menurut laporan dari mStar Online.
Untuk rekod, pada 2023, Beyonce menjadi artis paling banyak dianugerahkan dalam sejarah Grammy, dengan 32 kemenangan, mengatasi mendiang konduktor Georg Solti untuk rekod sepanjang zaman.
Anugerah Grammy 2025 kali ini dihoskan oleh pengacara Trevor Noah. – Agensi