Penyanyi dan komposer kelahiran Jepun, Aska bakal mengadakan konsert pertama di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Februari depan.
Aska yang pernah menjadi sebahagian daripada duo ikonik Chage & Aska popular pada era 1990an dan kini Aska memilih untuk bergerak solo, lapor BH Online.
Memulakan siri jelajah Aska Concert Tour 2024 – Who is Aska?, Aska juga turut mengunjungi bandar utama di Asia Tenggara seperti Taipei, Taiwan, Seoul, Korea Selatan dan Jepun.
Justeru, dengan kehadiran kali pertama di Kuala Lumpur, Aska menjanjikan persembahan istimewa.
Ia akan menjadi persembahan mencerminkan evolusi seninya yang masih berterusan selama 45 tahun sejak pembabitannya dalam industri muzik.
Aska atau nama sebenarnya, Shigeaki Miyazaki mengeluarkan debutnya pada 1979 menerusi single Hitorisaki.
Kemudiannya, Aska banyak menulis lagu dan menyanyikannya untuk kumpulan duo, Chage & Aska. Antaranya, Say Yes, Morning Moon dan Love Song.
Pada 1991, single berjudul Hajimari wa Itsumo Ame (Selalu Hujan) berjaya menawan jutaan peminat dan menyaksikan album Scene II menjadi album terlaris untuk artis Jepun pada ketika itu.
Menjelang 1999, Aska mengeluarkan Aska the Best, kompilasi lagu-lagu popularnya.
Menandakan satu pencapaian penting dalam kerjayanya, Aska menjadi pemuzik Asia pertama yang membuat persembahan di MTV Unplugged.
Pada 2017, Aska mengambil langkah berani dengan melancarkan labelnya sendiri, Dada Label.
Pada Jun tahun lalu, Aska bekerjasama dengan penerbit legenda, David Foster buat kali kedua. Kemudian, Aska memulakan jelajah seluruh negara, sekali gus mengukuhkan legasinya dalam industri muzik sejak September tahun lalu.
Sehingga kini, Aska sudah menghasilkan 20 album studio bersama Chage & Aska dan lebih 10 album sebagai penyanyi solo. – Agensi