Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Astro Bot tampil kelainan

    TOKYO – Astro Bot yang comel dan berwarna-warni, permainan yang dinanti-nantikan dan dikeluarkan oleh Sony pada 6 September, memaparkan pendekatan yang lebih ceria dan berwarna-warni, berbanding kebanyakan permainan sinematik gelap, menurut pandangan peminat dan pengkritik.

    “Permainan platform 3D ini memberikan penghormatan kepada tiga dekad konsol Jepun dalam dunia ‘ajaib’ yang ‘diilhamkan oleh permainan yang saya membesar dengannya”, kata penciptanya, Nicolas Doucet, kepada AFP.

    Pemain akan membawa robot mini dengan antena yang bergoyang dalam pengembaraan-pengembaraan unik ke puluhan planet, melawan musuh-musuh luar biasa, termasuk seekor sotong ganas yang memakai snorkel.

    Namun, perbezaan yang ketara dengan permainan hebat PlayStation seperti God Of War Ragnarok dan Spider-Man 2 menyerlahkan fokus Sony kebelakangan ini terhadap jalan cerita serius dan grafik hiper-realistik, yang mana beberapa pemain dan pengulas merasakan ia telah melampaui batas.

    Astro Bot di PS5 kelihatan hebat, memberikan rasa ceria yang sangat diperlukan daripada gaya Nintendo pada konsol yang biasanya dikuasai oleh visual yang realistik, kelam, dan berasaskan realiti,” tulis seorang ahli podcast permainan, Colin Moriarty di X.

    Mainan patung (kanan) untuk permainan yang akan datang, “Astro Bot”, di sebelah konsol permainan edisi khas (kiri), dipamerkan di pejabat Sony Interactive Entertainment di Tokyo. – AFP
    Gambar AFP
    Sebastian Brueckner, pengarah seni utama untuk studio Kumpulan Asobi, menerangkan tentang permainan akan datang Astro Bot semasa acara media di pejabat Sony Interactive Entertainment di Tokyo. – AFP
    Astro Bot dipamerkan semasa sidang media di pejabat Sony Interactive Entertainment, Tokyo. – AFP
    Doucet, ketika bergambar bersama mainan patung untuk permainan yang akan datang semasa sesi temu bual bersama AFP di pejabat Sony Interactive Entertainment di Tokyo. – AFP
    Gambar AFP
    Pemandangan umum pejabat studio Kumpulan Asobi di pejabat Sony Interactive Entertainment, Tokyo. – AFP

    Seorang pengguna lain turut mengesyorkan pembelian dan sokongan terhadap Astro Bot jika pemain mahukan lebih banyak permainan yang menyeronokkan, di tengah-tengah rungutan terhadap kos tinggi dan masa pembangunan yang lama bagi keluaran-keluaran lain.

    Permainan baharu itu, yang dibangunkan hanya dalam tiga tahun oleh pasukan Doucet, akhirnya menyuntik variasi ke dalam simpanan permainan PlayStation yang telah lama dipenuhi dengan permainan sinematik naratif, menurut portal permainan khusus, The Gamer.

    Astro Bot adalah permainan penuh pertama siri tersebut, susulan kepada permainan realiti maya sebelum ini yang menampilkan watak utama, serta keluaran yang lebih pendek, Astro’s Playroom, yang didatangkan secara pra-pasang dengan konsol PlayStation 5.

    Permainan terbaharu itu juga dipenuhi dengan penampilan cameo daripada permainan-permainan PlayStation lain, yang dilancarkan sebelum ulang tahun ke-30 PlayStation yang akan disambut pada penghujung tahun ini.

    Terdapat juga beberapa khabar angin mengenai model ‘PS5 Pro’ yang dinaik taraf, dengan media industri membuat spekulasi bahawa pengumuman konsol baharu itu mungkin dibuat bulan ini.

    Bilangan ahli Kumpulan Asobi, studio di sebalik judul Astro Bot, hampir berganda dalam tempoh empat tahun yang lalu.

    “Namun, penting bagi setiap ahli untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan permainan,” kata Doucet, sambil menekankan usaha untuk mengekalkan kerjasama erat dengan memastikan semua pihak terlibat dalam setiap aspek pembangunan.

    Studio itu adalah dipenuhi dengan staf antarabangsa, dengan kakitangan dari 16 kewarganegaraan yang berbeza, tetapi ‘masuk akal’ bagi Kumpulan Asobi untuk berpusat di ibu kota Jepun, Tokyo.

    “Jepun merupakan negara di mana kualiti dan ketepatan dalam permainan sentiasa menjadi keutamaan, dari permainan arked hingga ke permainan pertarungan,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda