DHAKA, 4 SEPT – Pasukan keselamatan Bangladesh telah melancarkan operasi untuk mendapatkan semula beribu-ribu senjata api, termasuk yang dirampas semasa rusuhan maut yang membawa kepada penyingkiran pemimpin autokratik Sheikh Hasina, kata polis hari ini.
Beberapa minggu demonstrasi yang dipimpin oleh pelajar telah berubah menjadi protes besar-besaran, di mana Hasina melarikan diri dengan helikopter ke negara jiran, India pada 5 Ogos selepas 15 tahun menerajui tampuk pemerintahan.
Polis berusaha membendung protes dengan tembakan tetapi penunjuk perasaan bertindak balas dengan menyerbu dan merompak balai polis, di mana senjata dirampas.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus kini mengetuai kerajaan sementara selepas kejatuhan Hasina.
Lebih 3,700 senjata pelbagai jenis telah dikembalikan semasa pengampunan untuk menyerahkan senjata yang berakhir kelmarin. Bagaimanapun, lebih 2,000 senjata, termasuk senapang, masih hilang, bersama-sama ribuan butir peluru, ratusan kanister gas pemedih mata dan bom tangan.
“Senjata-senjata yang belum diserahkan ke balai polis dalam tempoh yang ditetapkan itu… akan dianggap haram,” kata pegawai kanan polis, Enamul Haque Sagor kepada AFP.
Tentera dan polis, serta unit pasukan keselamatan lain termasuk Batalion Tindakan Pantas (RAB) dan pasukan Ansar, turut mengambil bahagian dalam operasi pemulihan senjata tersebut. – AFP