JAKARTA, 4 SEPT – Seorang bekas datuk bandar yang melarikan diri dari Filipina selepas dituduh membantu menubuhkan pusat permainan dalam talian dan pusat penipuan haram yang kebanyakannya melayani pelanggan dari China telah ditangkap berhampiran ibu kota Indonesia, kata pegawai hari ini.
Pihak berkuasa Indonesia menangkap Alice Guo di sebuah rumah di bandar satelit Jakarta, Tangerang, sejurus sebelum tengah malam Selasa, menurut Khrisna Murti, ketua bahagian antarabangsa Polis Nasional.
Guo kini berada dalam tahanan dan menunggu untuk dihantar pulang ke Filipina, kata Murti, sambil menambah bahawa penangkapannya adalah hasil ‘kerjasama antara polis Indonesia dan Filipina’.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Indonesia.
“Biarlah ini menjadi amaran kepada mereka yang cuba mengelak daripada keadilan,” kata Marcos dan menambah bahawa persiapan sedang dibuat untuk membawa Guo pulang ke Filipina di mana dia menghadapi pelbagai tuduhan jenayah.
Selepas Guo melarikan diri dari Filipina pada Julai, dia dikesan di Malaysia dan Singapura sebelum muncul di Indonesia. Dua rakannya, yang dilaporkan menyelinap keluar dari Filipina bersamanya tanpa melalui prosedur imigresen biasa baru-baru ini ditangkap di Indonesia. – AP