Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat mengepalai perarakan sambutan Maulud Nabi

    Oleh Yusrin Junaidi, Salawati Haji Yahya, Nurdiyanah R & Daniel Lim – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sutan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengepalai perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah.

    Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran lslam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca A-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji ldris; Menteri Hal Ehwal Ugama selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah beserta paduka-paduka anakanda dan
    adinda Baginda berkenan menyertai perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat menghadiri perhimpunan dan perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengepalai perarakan Sambutan Maulud mengelilingi Bandar Seri Begawan kelmarin. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama peserta perarakan Maulud Nabi. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin pada majlis perhimpunan dan perarakan di Kawasan Lapang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menyertai perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyertai perarakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar. – GAMBAR OEH MUIZ MATDANI
    Antara yang ikut serta dalam perarakan Maulud Nabi di Daerah Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Perhimpunan Khas Wanita juga diadakan di Dewan Bandaran, Kuala Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Perhimpunan khas wanita yang diadakan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Majlis Perhimpunan Wanita di Dewan Jubli, Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R
    ATAS & BAWAH : Antara yang ikut serta dalam perarakan tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Awang Abdul Hakeem bergambar ramai bersama warga Progresif semasa majlis perhimpunan dan perarakan tersebut. – GAMBAR SERAHAN PROGRESIF

    Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Pehin berkata sambutan Maulud Nabi adalah tanda kasih dan menjunjung tinggi jasa kepimpinan Baginda Rasulullah SAW. Ia juga sebagai kesyukuran atas nikmat Allah SWT menjadikan kita beragama Islam dan bernegarakan Islam yang beriman menurut kepimpinan junjungan Nabi Muhammad SAW yang diutus oleh Allah sebagai Rasul-Nya.

    Dalam masa yang sama sambutan Maulud Nabi setiap tahun merupakan peluang untuk mendakwahkan ajaran Islam, khasnya untuk membawakan tema-tema berkenaan isu-isu sosial kemasyarakatan seperti isu gejala mental yang semakin menarik perhatian sekarang.

    Maka tema sambutan Maulud tahun ini, Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah SAW, bermaksud memelihara akal dalam erti kata supaya ia tetap sihat dan berfungsi dengan baik, tidak menimbulkan gejala-gejala mental.

    Dalam memelihara akal itu, kita diseru supaya berpandukan sunnah Rasulullah SAW iaitu jalan dan cara Baginda SAW menangani sesuatu gejala penyakit secara kerohanian.

    Yang Berhormat Pehin juga me-negaskan isu gejala mental yang kini mendapat perhatian itu selayaknya juga memerlukan pendekatan kerohanian bersesuaian di samping pendekatan saintifik yang diamalkan dalam perkhidmatan kesihatan moden sekarang.

    Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban dibawakan oleh gabungan para pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Yayasan dan sebaik sahaja sampai kepada “Ya Habibi,” tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama untuk mengepalai perbarisan perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan.

    Sebelum perarakan bermula, Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, mengepalai bacaan selawat tiga kali yang menandakan perarakan dimulakan.

    Pada tahun ini, seramai 5,409 orang menyertai perarakan yang dibahagikan kepada 95 pasukan mengikut lima kategori iaitu Pasukan-pasukan Tidak Bernombor; Kategori Kementerian-kementerian; Kategori Institusi Pengajian Tinggi/ Maktab/ Sekolah Arab/ Sekolah Menengah Swasta; Kategori Kampung dan Masjid serta Kategori Persatuan dan Sektor Swasta.

    SAMBUTAN DI DAERAH TUTONG

    Sementara itu di Daerah Tutong, lebih 1,200 orang masyarakat Islam turut tidak ketinggalan dalam memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan majlis perhimpunan dan perarakan yang diadakan di Kawasan Lapang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu khas pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman yang sekali gus mengepalai per-arakan yang disertai oleh sebanyak 29 pasukan terdiri daripada jemaah masjid dan penduduk kampung di daerah itu.

    Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti persembahan Dikir Marhaban beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Sirajul Aidil bin Haji Mohd Yusof dari Jabatan Pengajian Islam Cawangan Daerah Tutong.

    Sementara itu, seramai 450 orang Muslimah turut menghadiri Majlis Perhimpunan Wanita di Dewan Jubli, Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong (SMMHT).

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli.

    Majlis dimulai dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Dakwah Tutong, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Siti Noraziah binti Haji Asli, yang juga membacakan Doa Selamat pada akhir majlis tersebut.

    Majlis turut diisikan dengan alunan tarannum ayat-ayat suci Al-Quran, tazkirah khas dan Dikir Marhaban.

    SAMBUTAN DI DAERAH BELAIT

    Manakala di Daerah Belait, Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Sementara itu, Perhimpunan Khas Wanita juga diadakan di Dewan Bandaran, Kuala Belait yang dihadiri oleh isteri Yang Berhormat Menteri Pembangunan, Datin Fadzlin binti Haji Hashim selaku tetamu khas.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai JPI, Daerah Belait, Hajah Siti Faridah @ Nurhani binti Haji Ahmad.

    Seterusnya, ceramah dengan tajuk bertemakan sambutan Maulud tahun ini telah disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd Yussof.

    SAMBUTAN DI DAERAH TEMBURONG

    Di Daerah Temburong, sambutan sama telah diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

    Hadir selaku tetamu khas pada majlis itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad manakala isteri Yang Berhormat Dato, Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu hadir selaku tetamu khas pada Majlis Perhimpunan Khas Wanita.

    PROGRESIF

    Warga Progresif Sdn Bhd turut tidak ketinggalan memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan menyertai majlis perhimpunan dan perarakan di ibu negara, pagi tadi.

    Hadir mengetuai pasukan Progresif Sdn Bhd ialah Ketua Pegawai Pentadbiran, Awang Abdul Hakeem bin Haji Basir, pegawai pengurusan kanan dan kakitangan syarikat tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda