REPUBLIK SINGAPURA, 11 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, petang tadi berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Sentosa Development Corporation (SDC), Pulau Sentosa, Republik Singapura.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar dan Menteri bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan, Puan Yang Terutama Grace Fu.
Duli Yang Teramat Mulia mula-mula dijunjung berangkat bagi mendengar sembah taklimat mengenai Rancangan Eko-Pelancongan Pulau Sentosa yang disampaikan oleh Pengarah, Perancangan dan Analitik Data, SDC, Kelly Yoong.
Taklimat antara lain meliputi perancangan enam bidang utama untuk mencapai Matlamat Sentosa ke arah keseimbangan karbon menjelang tahun 2030, bidang-bidang kerjasama kelestarian dan langkah-langkah ke arah mengadaptasi perubahan iklim.
Usaha tersebut bertujuan menyeimbangkan pertumbuhan pelancongan dengan penjagaan alam sekitar serta meningkatkan daya tarikan dan ekologi pulau tersebut.
Selepas taklimat, Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan melanjutkan lawatan sepanjang Pantai Palawan, Beach Station, Walkthrough RISE Sustainability Showcase dan Sensoryscape.
Sebelum mengakhiri lawatan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyertai sesi bergambar ramai.
SDC adalah lembaga berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, Republik Singapura. Ditubuhkan pada 1 September 1972, SDC bertanggungjawab memantau pembangunan, pengurusan dan pemasaran Pulau Sentosa.
LAWATAN KE YONG SIEW TOH CONSERVATORY OF MUSIC
Sementara itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan mengadakan lawatan ke Yong Siew Toh (YST) Conservatory of Music, Republik Singapura, petang kelmarin.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia di sekolah berkenaan dijunjung oleh Naib Dekan dari YST dan National University of Singapore, Profesor Madya Chan Tze Law.
Yang Teramat Mulia kemudiannya mendengarkan sembah taklimat daripada Profesor Madya Chan Tze Law di student lounge mengenai latar belakang YST Conservatory of Music dan kurikulum yang ditawarkan oleh institusi berkenaan.
Mula ditubuhkan pada tahun 2023, YST Conservatory of Music berperanan untuk mengembangkan kecemerlangan dalam persembahan instrumental dan komposisi muzik.
Semasa lawatan tersebut, Yang Teramat Mulia dijunjung melawat ke studio rakaman dan meneruskan lawatan ke dewan orkestra bagi menyaksikan persembahan muzik akustik daripada penuntut-penuntut dari Voice Department, YST Conservatory of Music.
MAJLIS SANTAP MALAM
Pada sebelah malam, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia di Residence 5, Grand Wing dijunjung oleh TYT Lee Hsien Loong dan isteri. Ini diikuti dengan Majlis Santap Malam.
Majlis tersebut berlangsung di Hotel Grand Hyatt Singapura.