Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Di Negara Brunei Darussalam, sejak kes pertama Human Immunodeficiency Virus (HIV) pada tahun 1986 hingga Disember 2023, sebanyak 492 kes telah dilaporkan di mana 96 daripadanya telah meninggal dunia. Pada tahun 2023, terdapat 57 kes jangkitan HIV baharu dalam kalangan rakyat dan penduduk tetap negara ini. Di antara yang terjangkit, 96 peratus adalah dari golongan lelaki dan kebanyakan yang terjangkit terdiri daripada golongan muda berusia antara 20 hingga 34 tahun.
Negara Brunei Darussalam merupakan salah satu negara yang mempunyai kadar jangkitan HIV yang rendah. Walau bagaimanapun, dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, kadar kes meningkat melebihi kadar pada tahun-tahun sebelumnya.
Ini disebabkan peningkatan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan HIV dan pengesanannya di antara golongan yang mempunyai risiko tinggi di mana mereka tampil untuk menjalani ujian dan mendapatkan maklumat mengenai kaedah-kaedah pencegahan jangkitan HIV.
Di Negara Brunei Darussalam, orang-orang yang berisiko tinggi bagi jangkitan HIV adalah mereka yang mengamalkan hubungan seksual rambang dan tidak terlindung, terutamanya hubungan kelamin sesama lelaki (MSM).
Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia 2024.
Terdahulu, beliau mengongsikan HIV adalah sejenis virus yang menjejaskan serta melemahkan sistem ketahanan badan seseorang dan boleh mengakibatkan seseorang itu mudah mendapat jangkitan lain serta penyakit lain seperti kanser.
Peringkat terakhir jangkitan HIV, iaitu Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS) berlaku apabila sistem ketahanan badan seseorang itu menjadi sangat lemah hingga tidak berupaya untuk melawan jangkitan dan menangani jangkitan atau penyakit-penyakit lain menyebabkan individu berkenaan menghidap beberapa masalah kesihatan yang boleh mengancam nyawa.
Peringkat AIDS ini boleh dicegah jika jangkitan HIV dapat dikesan awal dan menerima rawatan pada peringkat awal lagi.
Yang Berhormat Dato seterusnya menambah, sejak dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1988, Hari AIDS Sedunia telah disambut pada 1 Disember setiap tahun dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit HIV dan memperingati mereka yang telah meninggal dunia akibat penyakit berkaitan dengan AIDS.
“Pada tahun ini, tema Hari AIDS Sedunia ialah Take the rights path: My Health, My Right!, yang merupakan seruan bahawa dalam pelaksanaan usaha-usaha untuk menangani HIV/AIDS. Kita juga perlu memastikan bahawa setiap orang, terutama mereka yang dijangkiti HIV dan golongan-golongan orang yang berisiko untuk HIV, mendapat akses kepada layanan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tanpa stigma dan diskriminasi,” kata Yang Berhormat Dato.
Beliau seterusnya mengongsikan kenyataan dari UNAIDs dan WHO, stigma dan diskriminasi merupakan punca utama kebanyakan orang mengelak dari mendapatkan ujian, mendedahkan status HIV mereka, dan enggan mendapatkan rawatan HIV yang boleh menyelamatkan nyawa.
“Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan umum mengenai HIV dan menangani mitos dan salah tanggapan mengenai HIV.
“Tema tersebut juga menekankan kepentingan pendekatan berdasarkan hak asasi manusia sebagai panduan kepada kesihatan yang lebih baik dan pencapaian yang lebih efektif dalam menangani HIV.
“Di antara hak asasi yang dimaksudkan termasuk hak terhadap informasi yang betul dan komprehensif, hak akses terhadap perkhidmatan kesihatan yang saksama dan berkualiti, hak atas pendidikan dan pekerjaan yang setara dan hak terhadap perkhidmatan awam dan kesejahteraan,” tekannya.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa seperti yang diketahui, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
“Oleh itu pencegahan dan pengesanan awal HIV adalah komponen penting dalam tindak balas terhadap wabak HIV. Dengan adanya maklumat dan kefahaman yang betul mengenai cara penularan jangkitan HIV, ia dapat memperkasakan seseorang itu untuk mengelakkan diri dari aktiviti-aktiviti yang berisiko tinggi dan juga mengamalkan cara hidup yang sihat,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, di antara langkah-langkah bagi mencegah jangkitan HIV adalah mengelak dari melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan HIV seperti melakukan hubungan secara rambang dan tidak terlindung, dan mengelak dari bertukar-tukar pasangan.
“Jika seseorang itu terdedah kepada risiko jangkitan, atau ingin tahu akan status HIV mereka, ujian untuk mengesan HIV boleh dibuat di klinik-klinik atau hospital yang berdekatan, ataupun menggunakan kit ujian segera bagi HIV, iaitu ujian HIV rapid test yang boleh didapati di beberapa klinik swasta di negara ini.
“Bagi mereka yang didapati terjangkit dengan HIV, dengan pengambilan ubat antiretroviral (ARV) secara efektif, ia dapat mengawal virus HIV dan membantu mencegah penularan. Dengan rawatan juga, orang yang hidup dengan HIV boleh meneruskan hidup secara sihat, produktif dan mempunyai jangka hayat yang panjang sama seperti orang yang HIV negatif,” tambah Yang Berhormat Dato.
“Marilah kita bersama-sama meningkatkan kesedaran, serta memperkasa di dalam mengambil tindakan yang bertepatan dan bersesuaian dengan amalan terbaik di dalam konteks Negara Brunei Darussalam dalam usaha-usaha untuk menamatkan epidemik AIDS,” tekan beliau.