Monday, May 20, 2024
28.6 C
Brunei

    -

    Brunei MYCE 2023 tumpu empat tema

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023 akan menumpukan kepada acara-acara persidangan dan pameran yang menghimpunkan para pakar dan pemain-pemain penting dari dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang tertentu.

    Bagi tahun ini, ia akan dimuatkan dengan empat tema sebagai pengisian sepanjang acara iaitu Islamik, alam sekitar, teknologi dan inovasi, dan hal ehwal semasa.

    Pengisian Brunei MYCE 2023 itu dikongsikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Brunei MYCE 2023 semasa mempengerusikan sidang media yang diadakan di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, kelmarin.

    Mengulas lebih lanjut mengenai empat tema berkenaan, Hajah Tutiaty berkata, tema Islamik merupakan salah satu kluster Brunei MYCE yang dikekalkan setiap tahun dengan mengambil kira Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja (MIB) yang mengamalkan dan menitikberatkan ajaran-ajaran agama Islam dalam sistem pentadbiran negara, budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini.

    “Di bawah kluster Islamik, Brunei MYCE tahun ini akan memfokuskan mengenai produk dan perkhidmatan Halalan Thayyiban, yang akan dapat meningkatkan lagi pengetahuan mengenai keistimewaan, perkembangan serta cabaran yang berkaitan dengan pelbagai isu Halalan Thayyiban,” ujarnya.

    Hajah Tutiaty semasa menghadiri sidang media bagi mengongsikan Brunei MYCE 2023 di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, kelmarin.- Gambar serahan KSSUP
    Hajah Tutiaty semasa mempengerusikan sidang media bagi mengongsikan Brunei MYCE 2023 di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, kelmarin.

    Peneraju utama di bawah kluster berkenaan ialah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Selain itu, ia juga melibatkan penyelarasan dan kerjasama dengan beberapa agensi swasta dan kerajaan dan institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara seperti Standards and Metrology Institute for Islamic Countries (SMMIC), Turkiye, Prince of Songkla University Thailand, Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia dan lain-lain.

    Sementara itu bagi tema alam sekitar, Hajah Tutiaty berkata, dengan mengambil kira kelebihan negara ini yang komited dengan pemuliharaan ekosistem laut dan darat, maka salah satu tema yang diketengahkan tahun ini ialah alam sekitar yang memfokuskan kepada pemuliharaan biodiversiti marin, dengan cadangan tajuk persidangan Sustaining Marine Biodiversity through Blue Economy 2023.

    Peneraju utama bagi tema berkenaan ialah KSSUP melalui Jabatan Perikanan, dengan kerjasama pihak antarabangsa seperti Southeast Asian Fisheries Development Center (SEAFDEC) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) sebagai penganjur bersama.

    Tema teknologi dan inovasi pula, ujar beliau, akan memfokuskan kepada teknologi digital dan projek inovasi antaranya bagi mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam mengatasi cabaran-cabaran dunia ke arah memastikan keterangkuman dalam kalangan masyarakat global.

    Antara topik yang dibawakan adalah Innovative Digital Future, Are We Ready? dengan peneraju utama bagi tema ini adalah Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Tema terakhir iaitu hal ehwal semasa, Hajah Tutiaty berkata, ia merupakan salah satu tema yang dicadangkan untuk diketengahkan pada tahun ini yang antaranya memfokuskan mengenai isu tenaga dan ekonomi.

    Antara agensi atau syarikat yang dikenal pasti sebagai peneraju tema berkenaan ialah Jabatan Tenaga melalui Jabatan Perdana Menteri yang memfokuskan kepada Towards an Energy Transition in ASEAN.

    “KSSUP melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) juga akan bekerjasama dengan pihak penganjur dan beberapa pihak berkepentingan pelancongan antaranya Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Persatuan Hotel-hotel Brunei (BAH), Persatuan Ejen Pelancongan (ATAB), perkhidmatan pengangkutan dan penyedia-penyedia perkhidmatan pelancongan untuk menawarkan promosi dan pakej-pakej menarik, dalam masa yang sama membantu merangka aktiviti dan program lawatan bagi para pembentang dan peserta persidangan dan pameran khususnya dari luar negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...