Monday, May 20, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Brunei rekod hujan tertinggi Selasa lalu

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Cuaca di negara ini diramalkan masih aktif sehingga 29 Januari ini, dengan hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir akan berlaku, sementara angin kencang pula boleh mencapai kelajuan sehingga 45 kilometer sejam (kmsj) di darat dan 50kmsj di lautan atau semasa hujan lebat.

    Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan, cuaca aktif juga akan menyaksikan laut berombak sederhana ke bergelora di paras 1 hingga 3 meter.

    Brunei kini berada dalam fasa pertama monsun timur laut, di mana pada lazimnya keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

    Sejak awal minggu ini, negara telah mengalami keadaan cuaca aktif disebabkan luruan angin timur laut yang kuat dan juga sistem tekanan rendah di kawasan rantau ini.

    Ini telah mengakibatkan atmosfera tidak stabil dan lembap, yang menggalakkan pembentukan awan-awan hujan selain pengaruh sistem tekanan rendah juga boleh menyebabkan keadaan berangin dan sekali sekala kencang terutama semasa hujan lebat melintasi kawasan negara ini.

    Sehubungan itu, Stesen Pencerapan Cuaca BDMD di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan tertinggi pada minggu ini sejumlah 115mm pada Selasa lalu.

    Jabatan itu juga menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal bagi mengelak kejadian pokok tumbang dan tanah susur yang boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Selain itu, terdapat risiko tinggi berlakunya banjir dan banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang, manakala keadaan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Di samping itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan juga pelaut disarankan untuk sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...