Wednesday, November 13, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bucks berjaya atasi Jazz

    LOS ANGELES, 8 NOV – Damian Lillard menjaringkan 34 mata ketika Milwaukee Bucks menamatkan rentetan enam kekalahan untuk meraih kemenangan pertama mereka di tempat sendiri musim ini dengan keputusan 123-100 ke atas Utah Jazz kelmarin.

    Lillard menyumbang empat jaringan tiga mata dan mencatatkan 12 daripada 22 percubaan yang menyaksikannya mencatatkan 30 mata untuk tiga perlawanan berturut-turut bagi membantu Milwaukee meraih kemenangan kedua mereka sejak kekalahan pembukaan musim kepada Philadelphia 76ers bulan lalu.

    Giannis Antetokounmpo menambah 31 mata dan 16 rebounds manakala Bobby Portis mencatatkan 19 mata dari bangku simpanan sekali gus membantu Milwaukee meraih kemenangan yang sangat diperlukan selepas permulaan musim yang teruk.

    Juara NBA 2021 itu memulakan musim dengan rekod 1-6 yang menjadikan mereka hanya satu tangga di atas kedudukan terbawah dalam Eastern Conference.

    Utah kelihatan bersedia untuk menambah kesulitan Milwaukee selepas mendahului 61-57 pada separuh masa di Forum Fiserv.

    Namun, Bucks akhirnya menunjukkan taring dengan prestasi yang luar biasa pada suku ketiga, mendahului Utah 31-16 untuk membina jurang yang ternyata sukar dikejar, memberi penyokong tuan rumah sesuatu untuk diraikan.

    “Rasanya hebat,” kata Lillard. “Memulakan musim dengan permulaan yang sukar, mudah untuk rasa rendah diri dan mula panik sedikit serta bimbang.

    “Malam ini kami keluar dengan mentaliti yang betul. Mereka berjaya melakukan lontaran tiga mata, tetapi kami terus berjuang, berkongsi bola dan akhirnya kami menemui rentak kami dan menguasai permainan.

    “Kami hanya perlu menggunakan ini sebagai momentum untuk maju ke hadapan,” ujarnya. – AFP

    Aksi Lillard semasa permainan bola keranjang NBA di Milwaukee pada 7 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda