Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    City semakin hampir raih gelaran

    MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 27 APRIL – Manchester City semakin hampir mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dua jaringan Kevin De Bruyne membantu pasukannya menewaskan pendahulu Arsenal 4-1, semalam.

    Arsenal mendahului dua mata di puncak liga tetapi City mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan, bermakna skuad Pep Guardiola boleh tewas salah satu daripada baki tujuh perlawanan tetapi tetap bergelar juara kali kelima dalam enam musim.

    “Ia belum muktamad tetapi sangat penting menewaskan pencabar utama,” kata Guardiola.

    “Apa yang paling penting juga adalah semuanya kini dalam tangan kami.”

    Misi The Gunners untuk menjuarai liga buat pertama kali dalam tempoh 19 tahun tampak semakin tersasar selepas kunjungan ke Etihad dengan anak buah Mikel Arteta kini gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini.

    Kevin De Bruyne meraikan bersama Bernardo Silva (kiri) selepas menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan di antara Manchester City dan Arsenal di Stadium Etihad, Manchester, England pada 26 April. – AP

    Tetapi buat kali pertama musim ini mereka tewas dalam segala aspek kepada City dengan De Bruyne menjaringkan gol pendahuluan minit ketujuh menerusi rembatan rendah selepas mendapat hantaran Erling Haaland.

    John Stones menanduk masuk gol kedua sejurus wisel babak pertama hasil sepakan percuma De Bruyne sebelum bintang Belgium itu melebarkan kedudukan dengan penyudah berbisa minit ke-54 manakala Haaland melengkapkan malam derita Arsenal dengan tolakan jarak dekat pada minit kecederaan untuk gol ke-49nya dalam semua kejohanan musim ini.

    Dia turut mencipta rekod baharu EPL dengan meledak 33 jaringan dalam 38 perlawanan mengatasi pencapaian pemain Liverpool Mohamed Salah yang menjaringkan 32 gol pada musim 2017/18.

    “Analisis adalah jelas, pasukan lebih baik menang perlawanan,” kata Arteta.

    “Mereka berada di tahap terbaik terutama babak pertama, kami pula langsung tidak berada pada tahap sepatutnya.

    “Apabila ia berlaku, jurang menjadi terlalu besar. Kami dihukum malah mungkin lebih teruk lagi.”

    Arsenal menjaringkan gol tunggal mereka pada minit ke-86 menerusi Rob Holding sebelum Haaland memuktamadkan perlawanan dengan 4-1 pada minit ke-95.

    Skuad Arteta pula kini melepaskan 11 gol dalam empat aksi terakhir dan berdepan cabaran getir meningkatkan semula motivasi mereka bagi mengharungi baki perlawanan sambil mengharapkan keajaiban boleh berlaku. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda