Monday, May 20, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    D Amazing KBT juara kejohanan dart Sabah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Lapan pasukan negara dalam sukan dart telah menyahut cabaran dalam Kejohanan Dart Fido Winmau Terbuka Sabah Master 2024 selama tiga hari berlangsung di Hotel Likas Square Ballroom, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

    Kejohanan yang diadakan dari 3 hingga 5 Mei lalu yang dibukakan kepada para penggiat sukan dart di seluruh negara ASEAN itu telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Berpasukan, Kategori Beregu Terbuka dan Kategori Perseorangan Wanita. Hadiah kemenangan bagi tiga kategori berjumlah wang tunai RM53,600 berserta piala.

    Pasukan-pasukan tanah air yang menyertai terdiri daripada D Amazing KBT dengan dua pasukan, KGA Koi Fish dengan dua pasukan, Spin Top dengan dua pasukan, satu pasukan daripada The Shield dan satu pasukan lagi daripada KGA Mix.

    Secara keseluruhannya, kejohanan berkenaan telah menyaksikan sebanyak 74 pasukan dalam Kategori Berpasukan mengikuti kejohanan tersebut. Manakala Kategori Beregu Terbuka di kejohanan itu telah disertai oleh 126 pasukan dan seramai 49 orang peserta yang bersaing dalam Kategori Perseorangan Wanita.

    Dalam pada itu, muncul juara bagi Kategori Berpasukan ialah Pasukan D Amazing KBT Kupipiks dari Negara Brunei Darussalam yang dianggotai oleh Pengiran Mohamed bin Pengiran Haji Matarsad selaku ketua pasukan, bersama Awang Mohd HairulAzman bin Haji Bujang, Awang Qahar Ukail bin Haji Shamsul Ariffin, Awang Mohd Saiful Rizal bin Mohd Ridzwan, dan Awang Mohd Aqil Izham bin Abd Rahim. Mereka telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 berserta piala iringan dan pingat.

    Manakala dalam Kategori Beregu Lelaki Terbuka, Pasukan Tommy Hardware dari Sabah menyandang tempat pertama dengan membawa pulang RM8,000 berserta piala. Manakala Pasukan D Amazing KBT Miracle Destroyer dari Negara Brunei Darussalam berada di tempat ketiga membawa pulang RM1,000 berserta piala.

    Sementara itu, Kategori Perseorangan Wanita telah menyaksikan hadiah juara diterima oleh Zarina Khan dari Kuala Lumpur dengan membawa pulang RM2,000 berserta piala. Bagi Kategori Berpasukan second chance, juara disandang oleh Pasukan Sarawak SJA Darters dari Lawas yang membawa pulang RM2,000 berserta piala; manakala Pasukan Pamad K9 Alpha dari Sabah mendapat tempat pertama bagi Kategori Beregu Terbuka second chance dengan membawa pulang RM2,000 berserta piala.

    Sesi penyampaian hadiah-hadiah di akhir kejohanan telah disempurnakan oleh Pengurus Kelab OMG Dart, Alhernz Liaw.

    Sehubungan itu, kejohanan seterusnya yang akan disertai oleh pemain-pemain sukan dart negara ialah PDC Asian Tour Single Open 2024 yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia pada 18 dan 19 Mei depan bagi merebut wang tunai berjumlah AS$240,000 dengan tiga kategori perseorangan.

    Pasukan D Amazing KBT Kupipiks bergambar ramai bersama Alhernz Liaw.– GAMBAR SERAHAN PERSATUAN D AMAZING KBT BRUNEI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    17,000 warga emas di Jepun meninggal dunia sendirian di rumah

    TOKYO, 19 MEI - Satu tinjauan terkini oleh Agensi Polis Kebangsaan Jepun (NPA) menunjukkan bahawa 17,034 warga emas yang tinggal bersendirian telah meninggal dunia...