Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dalang aplikasi jenayah antarabangsa diberkas

    SYDNEY, 18 SEPT – Seorang pakar komputer Australia berusia 32 tahun telah ditahan kerana disyaki membangunkan aplikasi pesanan rahsia yang digunakan oleh ratusan penjenayah di seluruh dunia bagi menyelaras urusan jual beli dadah dan mengarahkan pembunuhan, kata polis hari ini.

    Polis Persekutuan Australia berkata aplikasi Ghost dipasarkan kepada ketua penjenayah sebagai ‘tidak boleh digodam’ dan digunakan oleh ratusan suspek penjenayah dari Eropah, Timur Tengah dan Asia.

    Namun, tanpa pengetahuan pengguna, pihak berkuasa polis global telah menggodam rangkaian tersebut dan memantau perbualan penjenayah mengenai aktiviti pengedaran dadah, pengubahan wang haram, pembunuhan dan keganasan serius.

    Pihak berkuasa mengambil tindakan sejak kelmarin, menangkap penjenayah dari Itali, Ireland, Sweden, Kanada dan Australia – termasuk Jay Je Yoon Jung, yang didakwa sebagai ‘dalang’ aplikasi tersebut.

    Pengarah Eksekutif Europol, Catherine De Bolle berkata penguat kuasa undang-undang dari sembilan negara telah terlibat dalam operasi antarabangsa itu.

    “Hari ini, kami telah membuktikan bahawa tidak kira betapa tersembunyinya rangkaian jenayah, mereka tidak dapat mengelak daripada usaha kolektif kami,” katanya.

    Pihak berkuasa membongkar makmal dadah di Australia, manakala senjata, dadah dan lebih daripada AS$1.1 juta wang tunai telah dirampas di seluruh dunia, tambah agensi polis EU.

    Ghost, sejenis WhatsApp untuk penjenayah, dicipta sembilan tahun lalu dan hanya boleh diakses melalui telefon pintar yang telah diubah suai yang dijual pada harga kira-kira AS$1,590.

    Harga yang tinggi itu termasuk langganan enam bulan untuk aplikasi Ghost dan sokongan teknikal, kata polis Australia hari ini, dan pengguna dikehendaki melanggan secara berterusan. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda