UZBEKISTAN, 8 JAN – Seorang penjaga zoo Uzbekistan kehilangan nyawanya dengan tragis selepas sengaja masuk ke dalam kandang singa di sebuah zoo persendirian untuk merakamkan dirinya bersama singa-singa berkenaan.
Oddity Central melaporkan pada 17 Disember lalu, Iriskulov yang berusia 44 tahun sedang bekerja syif malam di zoo persendirian di Parkent, Uzbekistan, apabila dia memutuskan untuk menarik perhatian tunangnya dengan merakamkan dirinya masuk ke dalam kandang untuk membelai tiga ekor singa Afrika dewasa.
Klip pendek yang diambil dari telefon lelaki itu menunjukkan dia membuka kunci kandang singa dan berjalan secara santai ke arah singa-singa sambil memanggil-manggil nama-nama haiwan berkenaan.
Singa-singa yang sedang berbaring di atas palet kayu, terus bangun dan berjaga-jaga sebelum mendekati penjaga zoo yang sedang membuat penggambaran, seolah-olah dia tidak menyedari bahaya yang bakal dia hadapi.
Rakaman video kemudian terputus apabila Iriskulov menjerit ketika salah seekor singa menyerangnya.
Mayat Iriskulov yang sebahagiannya telah dimakan ditemui empat jam selepas kejadian tragis itu dan pihak zoo mengesahkan bahawa seekor daripada singa itu terpaksa ditembak dan dua lagi ditembak dengan ubat penenang selepas cuba keluar dari kandang yang dibiarkan tidak berkunci.
Sebelum itu, Iriskulov dikatakan sebagai seorang pengendali singa yang berpengalaman, tetapi media Uzbekistan melaporkan bahawa dia tiba-tiba mendapat idea yang begitu bahaya untuk merakam dirinya dalam kandang singa demi menarik perhatian tunangnya.
Menariknya, atas sebab tertentu, polis melaporkan kejadian itu dengan cara yang sangat berbeza apabila sebaliknya mengatakan singa-singa berkenaan telah melarikan diri dari kandang dan menyerang penjaga zoo di luar kandang.
Sedangkan video yang tular di laman X jelas menunjukkan Iriskulov membuka kunci kandang untuk masuk dan membelai singa-singa berkenaan.
“Hari ini, 17 Disember, tiga ekor singa dipelihara dalam satu kandang di sebuah zoo persendirian Lion Park yang terletak di daerah Parkent di Wilayah Tashkent telah melarikan diri ke halaman,” menurut kenyataan polis.
“Singa-singa itu memasuki halaman, menyerang dan mencederakan penjaga berusia 44 tahun. Malangnya, penjaga itu kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya,” tambah kenyataan tersebut. – Agensi