Wednesday, January 15, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum bincang landskap perniagaan mampan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Penekanan terhadap kemapanan yang membentuk masa depan kita terus diutamakan di mana penyahkarbonan menjadi tumpuan dengan usaha mencapai sifar bersih menjelang 2050.

    Bagi Brunei dan juga secara global, terdapat peralihan dalam sektor tenaga dengan peningkatan pelaburan dalam sektor itu.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Bank Baiduri, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah ketika menyampaikan ucapan alu-alu semasa Forum Masa Depan Mampan, Mission Possible: Game Changing Ideas for a Sustainable Future, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah berkata bahawa tumpuan yang semakin meningkat telah diberikan kepada pertanian mampan dan perikanan mampan yang dihasratkan untuk melindungi biodiversiti serta meningkatkan sekuriti makanan.

    Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini, YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah menyatakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), bukannya semata-mata penanda aras tetapi merupakan suar harapan bagi hari esok yang lebih baik, memastikan bahawa tiada yang ketinggalan, teguh dalam nilai-nilai yang mentakrifkan kemanusiaan kita bersama.

    Forum sehari yang membawa tema, Mission Possible: Game Changing Ideas for a Sustainable Future itu dihadiri oleh lebih 350 orang pemimpin korporat, usahawan tempatan dan pelajar yang mengetengahkan sesi dialog mengenai cara-cara kita boleh bersama-sama menyumbang ke arah pencapaian SDGs.

    Forum yang menampilkan pembentangan dan sesi perbincangan dengan pembentang serta ahli panel tempatan dan antarabangsa menyentuh mengenai landskap perniagaan mampan dan kemampanan, mengemudi peralihan tenaga, menghubungkan pelaburan dan inovasi, mengetengahkan Brunei Homegrown Project serta kekal komited kepada matlamat SDGs.

    Menerusi sesi berkenaan, para peserta juga berpeluang mempelajari cara-cara melaksanakan amalan-amalan mampan dalam syarikat mereka yang dapat meningkatkan kecekapan operasi, menggurangkan kos serta meningkatkan reputasi jenama.

    YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah ketika menyampaikan ucapan alu-alu semasa Forum Masa Depan Mampan, Mission Possible: Game Changing Ideas for a Sustainable Future. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda