Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Allah SWT akan menyediakan tempat di syurga bagi sesiapa yang pergi ke masjid pada awal atau akhir hari untuk menunaikan sembahyang atau menuntut ilmu atau untuk maksud yang baik, sebagai tanda penghormatan dan kemuliaan.
Mereka yang pergi ke masjid akan mendapat pahala yang besar sehingga dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Ini merupakan kurnia Allah SWT untuk hambaNya, hanya dengan menunaikan amal yang sederhana ini akan mendapat pahala yang istimewa dan luar biasa.
Perkara itu antara intipati tazkirah bertajuk Syurga bagi Pengunjung Masjid disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Strategik dan Jaminan Kualiti, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Haji Mohd Khairul Azhar bin Haji Idris dari Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan bagi menyerikan Program Malam Munajat kali ke-163 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Program yang diadakan malam tadi turut mengundang tetamu khas, Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Haji Arfan bin Haji Mohd Yusof, yang seterusnya memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Imam Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Mohd Asdey Hazabullah bin Haji Mohd Zain dari Masjid Kampung Limau Manis.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Abdul Aziz bin Haji Ghani dari Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan.
Selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh ahli Kumpulan Belia Masjid Syababussalam, Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan dari masjid berkenaan.
Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Pengiran Saiful Khairul Hakimin bin Pengiran Liudin dari Masjid Kampung Pengkalan Batu.