Monday, May 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Garis panduan aktiviti pengambilan pasir

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Isu pencemaran alam sekitar menjadi perkara yang diutamakan bagi pemantauan dan tindakan Kementerian Pembangunan termasuklah isu pencemaran yang melibatkan aktiviti-aktiviti pengambilan pasir di Sungai Paku, Telisai, Daerah Tutong.

    Oleh yang demikian, pihak kementerian melaksanakan beberapa langkah dalam memastikan aktiviti-aktiviti mengambil pasir berkenaan menepati syarat-syarat yang disediakan khususnya dalam menjaga ekologi persekitaran.

    Salah satu langkah tersebut ialah dengan menyediakan garis panduan penerokaan dan perlombongan kuari galian yang mengandungi syarat-syarat dan peraturan yang perlu diikuti oleh setiap pengusaha pelombong pasir yang beroperasi.

    Garis panduan berkenaan akan menetapkan peraturan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pengambilan pasir demi memelihara ekologi persekitaran.

    Setakat ini ada tujuh buah syarikat yang membuat aktiviti pengambilan pasir tersebut dan sejauh ini, ketujuh-tujuh syarikat berkenaan telah didapati melakukan kesalahan antaranya tidak menyediakan sediment control mechanism yang menyebabkan banjir dan pencemaran air di sungai tersebut; pengambilan pasir yang tidak terkawal dan tidak berancang; dan aktiviti yang merosakkan infrastruktur kerajaan seperti sekeliling longkang, jalan raya dan electrical piller yang terdapat di kawasan tersebut.

    Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menekankan perkara tersebut bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan pada hari ke-14 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, hari ini.

    Tegasnya, hal berkenaan adalah antara perkara yang telah dibuat amaran dan teguran kepada syarikat-syarikat berkenaan dalam memastikan setiap aktiviti yang dilaksanakan adalah teratur dan dapat memelihara perlindungan ke atas kawasan-kawasan dan habitat persekitaran tersebut serta harta benda awam yang terdapat di sana.

    “Buat masa ini, Kementerian Pembangunan sedang dalam usaha untuk merangka akta dan garis panduan yang lebih tepat dan fokus dalam membuat tindakan pemantauan dan penguatkuasaan serta pertimbangan denda yang dapat diambil kira bagi kesalahan-kesalahan dalam aktiviti kuari seperti ini, Insya-Allah akan dapat diselesaikan pada penghujung tahun ini,” kongsi Yang Berhormat Dato.

    Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut mengongsikan bahawa Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) akan melaksanakan kerja-kerja pengorekan sungai khususnya di Sungai Telamba, Sungai Pepakan, Sungai Danau dan mulut Sungai Tutong yang akan dilaksanakan di bawah peruntukan Rancangan Kemajuan Negara ke-12.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    17,000 warga emas di Jepun meninggal dunia sendirian di rumah

    TOKYO, 19 MEI - Satu tinjauan terkini oleh Agensi Polis Kebangsaan Jepun (NPA) menunjukkan bahawa 17,034 warga emas yang tinggal bersendirian telah meninggal dunia...