Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Projek tingkat sistem bekalan air

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Bagi menyediakan keterjaminan kualiti sistem air bersih di negara ini menjelang 2035, beberapa perancangan projek jangka panjang akan dilaksanakan melalui peruntukan Rancangan Kemajuan Negara ke-12 (RKN12).
     
    Ini seperti projek pembinaan menaik taraf infrastruktur yang sedia ada dan penggantian peralatan di loji-loji rawatan di negara ini di samping menilai semua reka bentuk dan proses rawatan yang dipraktikkan selama ini dalam memperbaiki rawatan air yang lebih selamat dan berkesan.
     
    Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan perkara itu semasa memberi respons kepada isu yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @Tekpin bin Ya’akub mengenai keterjaminan air bersih negara menjelang 2035.
     
    Pada hari ke-14 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis hari ini, Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan beberapa usaha yang sedang dan akan dilaksanakan di bawah RKN 12.
     
    “Dengan siapnya projek itu akan terdapat peningkatan lagi sistem bekalan air yang lebih efektif dan reliable,” tambahnya.
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa memberikan penjelasan pada Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Beliau turut mengongsikan antara projek yang sedang berjalan dan akan dilaksanakan dalam RKN12, termasuk kerja yang telah dibuat dan berjalan dalam RKN11.
     
    Antaranya, meningkatkan taraf loji-loji rawatan air yang sedia ada dan yang sudah beroperasi lebih 30 tahun termasuk Loji Rawatan Air Layong, Bukit Barun, Loji Rawatan Air Badas di Seria, dan Loji Rawatan Air Batang Duri di Temburong.
     
    Selain itu, pembinaan Loji Rawatan Air Bukit Barun yang dalam fasa 8 dan pada masa ini masih lagi dalam perlaksanaan bagi menambah 120 juta liter bekalan air bersih sehari ke Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Tutong bagi memenuhi permintaan menjelang tahun akan datang hingga 2035.
     
    Di samping itu, menaik taraf Loji Rawatan Air Agis-Agis yang pada masa ini  berkapasiti 36 juta liter sehari untuk ditingkatkan kepada 72 juta liter sehari yang akan bermula pada April 2024 dan dijangka siap pada April 2026.
     
    Selain itu, jelasnya lagi, menaik taraf Loji Rawatan Air Batang Duri di Daerah Temburong akan ditambah kepada 20 juta liter air sehari daripada 5 juta liter air sehari pada masa ini.
     
    Ini adalah mengambil kira pertumbuhan di daerah berkenaan bagi mencukupi bekalan persediaan bagi beberapa infrastruktur seperti tertubuhnya Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan beberapa kemajuan lain yang dirancang di daerah tersebut.
     
    Selain itu, pengurusan non-revenue water bagi sistem bekalan di negara ini bagi fasa 3 yang mana inisiatif berkenaan penting untuk mengurangkan pembaziran air, mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh kerajaan akibat kebocoran paip-paip lama dan mengakibatkan pembaziran air.
     
    Projek lain adalah kajian bekalan air sehingga 2035 dengan merebiu dan mengemas kini pelan rancangan sistem bekalan air, memastikan kemajuan infrastruktur bekalan selaras dengan kemajuan Brunei, pelan guna tanah.
     
    “Selain itu, satu inisiatif yang sedang dirancang adalah bagi mendapatkan khidmat pihak ketiga yang boleh memeriksa dan menilai tahap kualiti air bersih yang dikeluarkan dari loji-loji air di negara ini selaras dengan ISO standard bagi memperbaiki keterjaminan kualiti air yang bersih,” jelasnya.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...