Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC), salah sebuah jabatan di bawah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kementerian Kesihatan telah mengungkayahkan jerayawara kedua ‘Ok Kah Anakku?’ 2024, dengan pelancaran Garis Panduan Penggunaan Skrin Mengikut Umur di Negara Brunei Darussalam pada hari ini.
Jerayawara yang berlangsung di Tingkat Satu, Pusat Membeli-belah OneCity itu turut diadakan sempena sambutan ulang tahun CDC yang ke-25.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan jerayawara itu ialah Menteri kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Antara cadangan yang dibentangkan termasuk tidak menggunakan skrin bagi kanak-kanak di bawah umur dua tahun, tidak menggunakan skrin di latar belakang bagi semua peringkat usia dan kepentingan penglibatan ibu bapa dalam mengekalkan keselamatan kanak-kanak di dalam talian.
Seperti jerayawara yang diadakan sebelum ini, pihak CDC meneruskan matlamat positif dalam menyebarkan ilmu dan pengetahuan dalam bidang perkembangan kanak-kanak.
Tema tahun ini, Disconnect to Reconnect antara lain bertujuan memperkasakan ibu bapa supaya memutuskan kebergantungan kepada skrin, dan berhubung semula dalam berinteraksi bersama anak-anak mereka, dalam usaha untuk mempromosikan penggunaan skrin yang lebih sihat.
Sehubungan itu, ibu bapa diharap akan lebih sedar mengenai peningkatan kebergantungan kanak-kanak kepada penggunaan skrin dalam kehidupan seharian mereka dan kesan negatif kepada perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Jerayawara itu juga merupakan salah satu platform bagi para ibu bapa untuk bertemu dan berbincang dengan ahli-ahli profesional dalam bidang perkembangan kanak-kanak secara informal, membolehkan mereka bertanya soalan atau menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan anak-anak mereka, selain berpeluang untuk bertemu dengan ahli profesional perkembangan kanak-kanak yang lain dari sektor-sektor kerajaan dan swasta.
Acara tersebut diisi dengan beberapa aktiviti termasuk beberapa pameran daripada CDC untuk menekankan tentang aktiviti alternatif yang dapat dipraktikkan daripada penggunaan skrin iaitu dengan permainan kreatif dan juga aktiviti pergerakan.
Di samping itu, kuiz dan pemberian hadiah juga diadakan bertujuan untuk berkongsi ilmu mengenai penggunaan skrin yang sihat dan perkembangan kanak-kanak.
Pada akhir acara, Yang Berhormat Dato mengunjungi petak pameran untuk melihat lebih dekat dan seterusnya berinteraksi dengan peserta pameran.