Thursday, January 9, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harris lawat Singapura, Bahrain dan Jerman

    SINGAPURA, 8 JAN – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada 15 Januari, sebagai sebahagian daripada perjalanan beliau ke tiga negara dari 13 hingga 17 Januari yang turut merangkumi Bahrain dan Jerman.

    Lawatan itu dijangka menjadi yang terakhir bagi Harris sebagai Naib Presiden sebelum beliau mengakhiri tempoh perkhidmatannya pada 20 Januari.

    Jurucakap Kementerian Luar Negeri Singapura (MFA) berkata, lawatan itu mencerminkan hubungan jangka panjang yang kukuh, substantif dan pelbagai dimensi antara kedua-dua negara.

    Semasa di Singapura, Harris akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Lawrence Wong serta menghadiri jamuan makan tengah hari yang dianjurkan oleh Menteri Kanan Lee Hsien Loong di Istana.

    “Beliau juga akan melawat Pangkalan Tentera Laut Changi dan bertemu dengan anggota perkhidmatan AS,” menurut kenyataan jurucakap itu hari ini.

    Harris akan ditemani suaminya, Douglas Emhoff serta pegawai kanan AS.

    Di Bahrain, pada 16 Januari, Harris dijadual bertemu pemimpin-pemimpin di Manama, Bahrain dan melawat Pangkalan Sokongan Tentera Laut–Bahrain, iaitu ibu pejabat Markas Pusat Tentera Laut AS dan Armada Kelima AS, menurut kenyataan setiausaha akhbar Ernesto Apreza.

    Beliau kemudian dijadual melawat Sayap Pejuang ke-52 Tentera Udara AS di Pangkalan Udara Spangdahlem, Jerman pada 17 Januari.

    “Sepanjang lawatannya, Naib Presiden itu akan membincangkan pencapaian pentadbiran Biden-Harris dalam tempoh empat tahun lalu di setiap rantau, kerjasama AS dengan negara-negara terbabit, sumbangan angkatan tentera AS kepada keselamatan serantau dan global serta kepentingan keselamatan negara yang berterusan bagi Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    Gambar fail Naib Presiden AS Kamala Harris dan Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong berjabat tangan selepas mesyuarat di Bangunan Pejabat Eksekutif Eisenhower di Washington pada 29 Mac 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda