Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hasan Reads 2024 galak budaya membaca

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Sebagai usaha untuk memperkasa budaya membaca dan literasi dalam kalangan pelajar, Sekolah Menengah Sayyidina Hasan (SMSH) telah mengadakan Majlis Hasan Reads 2024 yang berlangsung di Dewan SMSH, kelmarin.

    Pengungkayahan majlis berkenaan juga bertujuan untuk menggalakkan golongan pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif, menyokong pengarang dan penerbit tempatan, dan juga sebagai platform bagi bertukar-tukar pandangan dan ilmu kebudayaan dan pendidikan.

    Antara yang hadir selaku tetamu jemputan ke majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMSH, Haji Adanan bin Haji Abdul Hamid; Setiausaha PIBG, Awang Roslan bin Othman; dan Bendahari PIBG, Dayang Masnon binti Haji Ibrahim.

    Majlis itu turut menyaksikan perkongsian daripada penceramah-penceramah jemputan yang terdiri daripada dua orang pengarang tempatan, Dr Haji Mohammad Rozan bin Dato Paduka Haji Mohammad Yunos dan Awang Khairul Anwar Sabir serta Awang Adi Farhan Othman yang merupakan seorang ilustrator tempatan.

    Dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMSH, Awang Moss bin Mat Juni, acara diikuti dengan pertandingan story telling terdiri daripada tiga orang finalis dan juga persembahan sebuah drama pendek bertajuk Cinderella di bawah arahan Vivian Soon Pek Kuan.

    Para pelajar turut berpeluang untuk mengikuti sesi Meet and Greet dengan para pengarang dan ilustrator tempatan jemputan, kuiz buku bertema dalam talian, Amazing Race, pertukaran buku dan sudut bacaan serta penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan-pertandingan di bawah Cabaran Membuat Penanda Buku, Top Read Theory dan Mari Bercerita.

    Majlis turut diserikan dengan perarakan pertandingan pakaian terbaik dengan penyampaian hadiah.

    Menurut Hajah Nesreen binti Dato Paduka Haji Ishaaq selaku salah seorang guru di SMSH, menyatakan bahawa apabila sesebuah sekolah berusaha untuk menggalakkan golongan pelajar bagi sentiasa bergiat aktif seperti acara yang berkaitan dengan dunia literasi sedemikian, maka pelajar-pelajar bukan sahaja mampu mengingatnya untuk jangka masa yang lama namun mereka juga memperolehi satu pengalaman yang menyeronokkan.

    Dr Haji Mohammad Rozan ketika sesi perkongsian semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SMSH
    Majlis Hasan Reads 2024 yang berlangsung di SMSH. – GAMBAR SERAHAN SMSH

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda