Pelawak Malaysia, Tauke Jambu terkilan apabila mengetahui namanya dikaitkan dengan berita tular mengenai pelawak yang ditahan polis selepas disyaki merogol seorang gadis pada Khamis.
Terkejut dikaitkan dengan perbuatan jenayah itu, Tauke atau Zamatul Amri Zakaria, 48, memilih untuk tidak melatah dan kekal tenang berdepan tuduhan warganet itu.
“Individu tersebut bukan saya. Saya dapat tahu kes ini selepas ada warganet yang tag saya di media sosial.
“Saya sebenarnya tak tahu nak komen apa, tapi jika tuduhan itu agak melampau ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada saya.
“Saya bukan nak cakap saya ini penyabar tetapi saya terpaksa reda dan terima sahaja apabila orang mengaitkan nama saya. Saya pun dah malas nak bising-bising.
“Bila usia makin meningkat ini, saya hanya nak fikir baik-baik sahaja. Mungkin yang berlaku ini semuanya ada hikmah dan saya pun faham tak semua orang suka dengan kita,” katanya ketika dihubungi mStar.
Mengakui kontroversi dilemparkan itu mampu memberikan kesan buruk terhadap kerjaya seninya, Tauke menasihati masyarakat supaya tidak terburu-buru membuat tuduhan tanpa sebarang usul periksa.
Sementara itu, Tauke tidak menolak namanya dikaitkan dengan isu berkenaan mungkin disebabkan dia pernah terlibat dengan beberapa kontroversi sebelum ini. – Agensi