Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Industri insurans perlu berdaya tahan hadapi perubahan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Industri insurans perlu lebih berdaya tahan dalam menghadapi perubahan terhadap pendedahan risiko termasuk bencana alam.

    Sektor berkenaan perlu dilengkapi untuk menangani cabaran dan kerumitan landskap kini dan masa depan. Pada masa yang sama, industri berkenaan harus menetapkan keutuhan dan standard tertinggi, ketelusan serta inklusiviti, kekal responsif kepada risiko yang muncul dan kemajuan teknologi yang memacu pembangunan mampan.

    Seruan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam ucaptamanya pada Pembukaan Mesyuarat ASEAN Insurance Regulators’ Meeting (AIRM) ke-27 dan Mesyuarat ASEAN Insurance Council (AIC) ke-50 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Beliau turut mengongsikan kesan isu-isu yang semakin signifikan termasuk pendigitalan, gangguan teknologi serta risiko keselamatan siber.

    Sementara itu, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menekankan pentingnya kerjasama antara pengawal selia dan industri insurans dan takaful untuk mencapai keseimbangan inovasi berterusan dan ketahanan industri insurans di rantau ini sambil mengekalkan perlindungan pengguna.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin hadir pada AIRM ke-27 dan Mesyuarat AIC ke-50 kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara peserta yang hadir pada mesyuarat tersebut bergambar ramai. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat AIRM ke-27 dan Mesyuarat AIC ke-50 yang membawa tema Menghubungkan Inovasi dan Kedayatahanan dalam Landskap Insurans ASEAN.

    AIRM ke-27 menghimpunkan 69 delegasi daripada agensi-agensi pengawalseliaan insurans dan takaful ASEAN serta Sekretariat ASEAN dan ASEAN Insurance Training and Research Institute (AITRI), manakala Mesyuarat AIC ke-50 dihadiri 135 delegasi daripada persatuan dan organisasi insurans negara-negara ASEAN.

    AIRM berfungsi sebagai sebuah platform untuk mengukuhkan kerjasama insurans dalam pembangunan rangka kerja pengawalseliaan dan penyeliaan insurans serta penyelidikan dan pembangunan kapasiti melalui AITRI.

    Acara itu menghimpunkan pengawal selia insurans dari 10 negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu-isu utama ke arah pembangunan dan pengukuhan industri insurans dan takaful di rantau ini.

    Sementara itu, mesyuarat AIC pula bertujuan memupuk kerjasama dan pembangunan antara pasaran insurans di rantau ASEAN. Diadakan serentak dengan AIRM, mesyuarat AIC berfungsi sebagai forum bagi pemimpin industri dari negara anggota ASEAN untuk berinteraksi dan berkongsi pengetahuan serta kepakaran dalam pelbagai bidang.

    Beberapa mesyuarat jawatankuasa kerja yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada operasi utama AIC juga diadakan kelmarin, termasuk Council of Bureau, ASEAN Reinsurance Committee, ASEAN Health and Medical Insurance Committee, ASEAN Cross-Sectoral Coordination Committee on Disaster Risk Financing Insurance Meeting, ASEAN Insurance Education Committee, ASEAN Natural Disaster Research and Works Sharing serta ASEAN Takaful/Retakaful Working Committee.

    Sepanjang minggu, beberapa acara berkaitan industri insurans juga akan diadakan, yang akan diakhiri dengan mesyuarat pleno bersama antara AIRM dan AIC. Mesyuarat pleno berkenaan melibatkan perbincangan bagi membentuk pembangunan insurans di masa depan di setiap negara dan di seluruh rantau ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda