Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Program Ziarah Mawaddah Nusantara ke Negara Brunei Darussalam oleh para pensyarah dari Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Malaysia diteruskan hari ini ke Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba.
Rombongan 11 orang tersebut telah disambut oleh Pemangku Pengetua Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor.
Turut mengalu-alukan kehadiran rombongan ialah guru-guru, pelajar-pelajar sekolah berkenaan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam.
Program lawatan tiga hari yang berakhir pada hari ini itu diisikan dengan sesi perbincangan antara kedua-dua belah pihak, serta sesi ceramah motivasi yang disampaikan oleh wakil rombongan lawatan kepada pelajar-pelajar sekolah tersebut.
Lawatan tersebut bertujuan untuk mengadakan kolaborasi kepakaran pedagogi alaf baharu dalam bidang bahasa Arab, serta berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan pengendalian latihan perguruan bahasa Arab di antara institusi tersebut dan institusi-institusi pendidikan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, di samping membuat tinjauan pelaksanaan pedagogi bahasa Arab di salah sebuah sekolah Arab di sini.