Sunday, January 26, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran adakan latihan tentera laut di Teluk

    TEHRAN, 24 JAN – Pengawal Revolusi Iran mengadakan latihan tentera laut di Teluk dan Selat Hormuz, menurut laporan media tempatan hari ini.

    Latihan itu merupakan sebahagian daripada siri latihan ketenteraan berskala besar yang dikenali sebagai Eqtedar atau ‘kehebatan’ dalam bahasa Farsi.

    Latihan ini, yang disiarkan di TV Iran, menampilkan bot laju, peluru berpandu pantai-ke-laut, serta peluru berpandu permukaan-ke-permukaan.

    Tentera Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) turut mengambil bahagian.

    “Pesanan latihan ini adalah keamanan dan persahabatan untuk negara-negara jiran serta menunjukkan bahawa kami mampu menjamin keselamatan rantau strategik yang sensitif ini sendiri,”kata komander tentera laut IRGC, Laksamana Muda Alireza Tangsiri kepada TV negara.

    Gambar Canva

    Tiga pulau strategik iaitu Greater Tunb, Lesser Tunb dan Abu Musa, yang terletak di Teluk berhampiran Selat Hormuz, telah lama menjadi punca pertikaian antara Emiriah Arab Bersatu dan Iran.

    Tangsiri turut menambah bahawa latihan itu bertujuan untuk “menghadapi sebarang pencerobohan oleh pasukan luar kawasan dan jika musuh ingin mengancam kepentingan negara kami di rantau ini, ia pasti akan menerima tindak balas yang sangat kuat”.

    Dalam latihan terdahulu, pasukan bersenjata Iran memperkenalkan kapal pengintip canggih serta mengadakan latihan melindungi kemudahan nuklear di bahagian barat dan tengah negara itu.

    Aktiviti ketenteraan itu dijalankan di tengah pemerhatian rapat terhadap program nuklear Iran, dengan Donald Trump kembali ke Rumah Putih sebagai Presiden Amerika Syarikat.

    Dalam penggal pertamanya, Trump telah menarik keluar Amerika Syarikat daripada perjanjian nuklear 2015 dan mengarahkan pembunuhan komander veteran IRGC, Qasem Soleimani, dalam serangan dron di Iraq. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda