Wednesday, January 15, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman, Filipina usaha perjanjian kerjasama pertahanan

    MANILA, 4 OGOS – Jerman dan Filipina hari ini berkata mereka sedang mengusahakan perjanjian kerjasama pertahanan, bakal ditandatangani akhir tahun ini, yang akan memperluas latihan antara angkatan tentera mereka dan kerjasama persenjataan, lapor agensi berita Jerman. 

    Filipina berusaha untuk meningkatkan pertahanan luarnya di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan China di Laut China Selatan yang dipertikaikan dan telah menandatangani perjanjian kerjasama pertahanan dengan negara lain.

    Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, yang sedang melawat Manila dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro berkata mereka ‘menentang sekeras-kerasnya sebarang percubaan unilateral untuk memajukan tuntutan yang meluas, terutamanya melalui kekerasan atau paksaan,’ di tengah-tengah cabaran keselamatan di Asia, Pasifik dan Eropah.

    “Menyedari pelbagai peluang untuk meningkatkan hubungan pertahanan dua hala memandangkan cabaran keselamatan yang dihadapi oleh kedua-dua negara, para menteri komited untuk memuktamadkan pengaturan yang lebih luas mengenai kerjasama pertahanan,” kata para menteri dalam satu kenyataan bersama.

    “Untuk tujuan ini, para menteri komited untuk menjalin hubungan jangka panjang antara angkatan tentera dan khususnya untuk meluaskan kerjasama latihan dan pertukaran dua hala,” tambah kenyataan itu.

    “Selain itu, para menteri berhasrat untuk meneroka peluang untuk mengembangkan lagi kerjasama persenjataan dua hala dan untuk melibatkan diri dalam projek bersama.”

    Pistorious berkata perjanjian kerjasama pertahanan itu diharapkan akan ditandatangani akhir tahun ini, ‘mungkin pada Oktober’. – Bernama

    Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius (kiri) bertemu rakan sejawatannya dari Filipina, Gilberto Teodoro, Jr di Manila, Filipina, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda