Saturday, December 14, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kambing putih di tengah malam

    Oleh Karz Kartolo –

    Pada sekitar tahun 50an di bandar tempat ayahku menetap memang agak lengang dan hanya terdapat lampu-lampu jalan yang samar-samar menerangi bandar tersebut. Ketika peristiwa itu terjadi ayahku menetap ketika beliau berumur dalam lingkungan belasan tahun. Untuk menuju ke kampung ayahku, terpaksa melalui tanah perkuburan orang Islam.

    Namun terkadang pada sebelah malamnya suasana gelap dan samar-samar menyebabkan kawasan tersebut nampak seram dan menakutkan orang kampung.

    Dalam lingkungan umur itu memang ayahku agak nakal. Ayah suka keluar malam untuk menonton wayang di panggung wayang bersama kawan-kawannya. Itulah yang sering menimbulkan kemarahan dan rasa tidak sedap hati pada nenekku. Teguran demi teguran diberikan namun sia-sia sahaja.

    Tapi bagi ayah teguran nenek seperti memberi dorongan untuk terus keluar malam.

    Pada malam kejadian itu, nenek memang sudah melarang ayah keluar memandangkan keadaan cuaca yang tidak elok. Ayah tetap berdegil kerana telah berjanji dengan kawan-kawannya. Lagipun tiket untuk melihat wayang sudah dibeli. Ayahku bergegas meninggalkan rumah apabila mendengar siulan sebagai isyarat dari kawan-kawannya.

    Gambar Freepik

    Nenekku gelengkan kepala melihat telatah ayah. Hanya nenek sempat berpesan agar ayah berhati-hati jangan balik terlalu lewat.

    Ketika keluar dari panggung wayang jam sudah larut malam. Hujan renyai-renyai mula turun. Namun semuanya tidak dihiraukan oleh ayah dan kawan-kawannya. Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa. Sambil bercerita dan berjenakan mereka telah tiba di penghujung jalan. Masing-masing mengucapkan selamat malam. Ayah mula mengorak langkah masuk ke perkarangan masjid untuk melalui jalan ke rumah nenek.

    Tiba-tiba guruh petir memecah keheningan malam. Suasana sunyi sepi menyelubungi persekitaran masjid dan tanah perkuburan itu. Berdebar juga hati ayahku lalu bersiul perlahan untuk menenangkan dirinya sambil mempercepatkan langkah.

    Terasa agak aneh malam itu dari selalunya. Terasa langkah diorak seperti terlalu perlahan.

    Dalam samar-samar malam itu tiba-tiba ayah terpandang sesuatu berdiri di depan jalan untuk membelok ke rumah. Sudah diamat-amati ayah dapati ia adalah seekor kambing.

    Kambing putih pula.

    “Eh…Kambing siapa pula berkeliaran di tengah malam ni?” bisik hati ayah. Seingat ayah tak ada orang di kampung yang memelihara kambing. Kambing sesat barang kali. Kambing putih itu tidak mengembek cuma kaku memandang ke arah ayahku dengan tajam. Kerana ingin tahu dihampirinya kambing putih itu perlahan-lahan. Sambil mengusap-usap kepala kambing putih itu seraya berkata, “Eh…ke mana kau malam-malam ini, mana tuanmu?

    Bah…balik…, esok pagi nanti tercari-cari pula tuanmu,” bisik ayah dengan kambing putih itu. Sambil berlalu diusapnya kepala kambing putih terakhir kalinya.

    Tiba-tiba tidak sampai lima langkah membelakangi kambing putih itu terasa bulu roma di belakang tengkuknya. Ayah memberanikan dirinya untuk mengetahui perkara sebenarnya, dengan menoleh ke tempat kambing putih itu. Alangkah terkejutnya ayah bagai nak terpelanting semangatnya apabila kambing putih itu berdiri seperti manusia.

    “Subhanallah…” bisik ayah.

    Kemudian bertukar menjadi satu lembaga putih dengan matanya merah menyala dan mengeluarkan satu bunyi yang amat menggerunkan.

    Ayah pun berlari sekuat hatinya sambil berdoa agar lembaga itu tidak mengejarnya. Tanpa disedari dia telah berada di pintu rumah. Bagai nak roboh pintu rumah diketuknya sehingga bangun seisi rumah. Nenek kehairanan melihat wajah ayah pucat lesi dengan nafasnya yang tercungap-cungap. Ayah masih menggigil ketakutan walaupun sudah berada di dalam rumah. Bila keadaan agak tenang ayahpun menceritakan kejadian yang dialaminya tadi.

    Nenek cuma mengangguk-angguk kepalanya dan menasihati ayah supaya jangan balik lewat lagi. Memang kalau selalu mengingkari nasihat-nasihat orang tua pasti ada padahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda