Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) negara ini bagi bulan Ogos 2024 di mana indeks tersebut adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana, dan besar daripada 11 sektor ekonomi, di kesemua daerah di negara ini.
BDCB menjelaskan indeks utama BSI, iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 50.2 bagi Ogos 2024. Ini menunjukkan bahawa secara amnya, keadaan perniagaan dijangka lebih baik pada Ogos 2024 berbanding dengan Julai 2024. Walaupun pendapat yang berbeza direkodkan dalam kalangan sektor yang berlainan, peniaga secara keseluruhan menjangka keadaan perniagaan akan bertambah baik dengan permintaan yang lebih tinggi untuk barangan dan perkhidmatan serta projek-projek baharu pada Ogos 2024.
Sementara itu, beberapa perniagaan juga mengongsikan kebimbangan tentang prestasi perniagaan dengan jangkaan bahawa para pengguna akan melancong ke luar negara semasa cuti persekolahan penggal kedua. Indeks bagi satu bulan ke hadapan berada pada tahap 50.3, menunjukkan perniagaan berpandangan optimistik dengan jangkaan peningkatan tahap pengeluaran dan aktiviti pasaran, serta projek-projek yang akan datang pada September 2024.
Turut dikongsikan ialah Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi Ogos 2024, 50.1 untuk satu bulan ke hadapan, dan 50.3 bagi tiga bulan ke hadapan. Ini seperti sentimen pada bulan-bulan sebelumnya, perniagaan akan terus meningkatkan tahap pelaburan pada Ogos 2024 dan merancang untuk meneruskannya dalam beberapa bulan akan datang. Ia termasuk penambahan stok, penaiktarafan infrastruktur IT, pembinaan kemudahan baharu, kerja-kerja pemindahan dan pengubahsuaian, pembukaan cawangan baharu,serta pembelian berkaitan dengan keperluan projek seperti bahan-bahan, peralatan, dan mesin.
Manalaka bagi Sub-Indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.3 bagi Ogos 2024 dan 50.2 bagi satu bulan ke hadapan. Meneruskan trend seperti sebelumnya, serta usaha mengganti pekerja yang telah berhenti, para peniaga me-ngongsikan usaha berterusan dalam pengambilan pekerja sepenuh masa dan sambilan untuk memenuhi keperluan operasi dan bagi mendukung rancangan pengembangan dan projek-projek mereka.
Sub-Indeks Kos Perniagaan adalah 50.3 bagi Ogos 2024 dan juga bagi satu bulan ke hadapan di mana peniaga melaporkan kos perniagaan yang lebih tinggi pada Ogos 2024 disebabkan oleh jangkaan peningkatan aktiviti perniagaan serta perbelanjaan gaji dengan penambahan tenaga kerja.
Bagi September 2024, kebanyakan perniagaan menjangka kos operasi akan terus meningkat disebabkan beberapa faktor termasuk usaha pembaikan dan penyelenggaraan, pengambilan pekerja tambahan bagi pembukaan cawangan baharu, keperluan projek-projek akan datang dan rancangan perkembangan perniagaan. Perniagaan juga mengongsikan peningkatan dalam kos penghantaran dan keperluan untuk penambahan stok untuk memenuhi permintaan yang dijangka akan meningkat pada bulan-bulan akan datang.
Dari segi sektor ekonomi, empat daripada 11 sektor menjangka keadaan perniagaan yang optimistik pada Ogos 2024. Sektor pengangkutan dan komunikasi menunjukkan sentimen tertinggi dengan indeks 50.7, disebabkan peningkatan dalam permintaan perkhidmatan semasa tempoh cuti persekolahan.
Sektor kesihatan dan pendidikan juga menjangkakan keadaan yang lebih baik berbanding dengan Julai 2024. Pandangan optimistik oleh sektor pembinaan didorong oleh projek-projek baharu yang dimulakan pada Ogos 2024, manakala sektor minyak dan gas dan yang berkaitan berpandangan positif disebabkan oleh produktiviti yang meningkat.
Sementara itu, lima sektor melaporkan sentimen pesimistik pada Ogos 2024, termasuk sektor hotel dan restoran yang menunjukkan tahap pesimistik tertinggi disebabkan oleh musim cuti persekolahan. Seterusnya, sektor perdagangan borong dan runcit; dan kewangan dan insurans menyatakan kebimbangan mengenai keadaan pasaran yang semakin lembab dan sektor-sektor pembuatan; dan pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan menjangkakan keadaan perniagaan lebih rendah akibat cuaca buruk. Sementara itu, sektor harta tanah dan pemilikan kediaman; dan perkhidmatan lain melaporkan keadaan perniagaan yang lebih kurang sama seperti Julai 2024.
Dari segi indeks mengikut saiz perniagaan, secara amnya, perniagaan bersaiz mikro dan besar menjangka keadaan perniagaan yang lebih baik pada Ogos 2024 berbanding bulan sebelumnya. Ini disebabkan oleh jangkaan peningkatan dalam aktiviti perniagaan yang menyumbang kepada prestasi yang lebih baik bagi Ogos 2024. Sementara itu, perniagaan bersaiz kecil dan sederhana menjangka keadaan perniagaan yang lebih kurang sama dengan Julai 2024.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.