Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Seorang lelaki warganegara Belanda, Edwin Van Der Nol, 32 tahun, telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya yang baharu dan melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Majlis pengislaman dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz ikrar pengislaman serta Dua Kalimah Syahadah oleh Edwin Van Der Nol, yang disempurnakan oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan.
Bahagian Pengembangan Dakwah (Pengislaman), Pusat Dakwah Islamiah telah mencatatkan seramai 202 yang telah memeluk agama Islam di seluruh negara dari Januari hingga 8 Ogos 2024.