NEW YORK, 10 DIS – Seorang lelaki berusia 26 tahun kelmarin telah ditangkap dan didakwa membunuh dalam pembunuhan yang disasarkan ke atas seorang eksekutif insurans kesihatan di New York, termasuk kesalahan lain.
Luigi Mangione didakwa di New York kerana disyaki melakukan satu pertuduhan membunuh, dua pertuduhan memiliki senjata jenayah tahap kedua, satu pertuduhan memiliki dokumen palsu peringkat kedua dan satu pertuduhan memiliki senjata peringkat ketiga, menurut dokumen mahkamah dalam talian yang ditunjukkan kepada AFP.
Para penyiasat masih menyoal siasat Mangione berhubung dengan pembunuhan kejam minggu lalu, yang mencetuskan pemburuan di seluruh negara dan telah menjadi tajuk berita dunia.
Menurut liputan penyiar, dia tiba di mahkamah Pennsylvania kelmarin dan dibawa masuk oleh polis Altoona dengan diapit oleh detektif NYPD.
Mangione seterusnya akan dihadapkan ke mahkamah pada 23 Disember ini.
Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro berkata pertuduhan membunuh di negeri New York akan dikemukakan kemudian.
Menurut laporan New York Times yang memetik rakan Mangione, suspek mengalami sakit di belakang dan telah menjalani pembedahan tahun lalu. Gambar yang disiarkan di akaun media sosial menunjukkan tulang belakang yang cedera. – AFP