BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Narendra Modi pada majlis yang berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.
Berangkat sama ke majlis tersebut ialah kerabat diraja.
Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Menteri Pengiring serta rombongan rasmi Republik India.
MESYUARAT DUA HALA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat bersama TYT Shri Narendra Modi bagi mesyuarat dua hala yang berlangsung di Baitul Mesyuarah, di mana Baginda Sultan bertitah mengalu-alukan Tuan Yang Terutama yang mengadakan lawatan rasmi buat pertama kali ke negara ini.
Baginda menyifatkan lawatan itu datang tepat pada masa yang penting bagi hubungan dua hala ketika mana kedua-dua buah negara meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik pada tahun ini.
Di peringkat serantau, tambah Baginda, India merupakan rakan kongsi penting ASEAN melalui Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India dan mekanisme lain yang diterajui ASEAN.
Semasa mesyuarat itu, Baginda Sultan dan Tuan Yang Terutama mengimbas kembali kemajuan cemerlang dalam hubungan dua hala selama ini, termasuk kerjasama yang baik dalam bidang kesa-linghubungan, perdagangan dan pelaburan, tenaga, pendidikan serta kesihatan.
Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan penerbangan langsung yang telah dirancang antara Bandar Seri Begawan dan Chennai serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai Telemetry Tracking and Telecommand Station yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.
Baginda seterusnya merakamkan penghargaan atas sumbangan warga India dalam pelbagai sektor terhadap pembangunan sosioekonomi Negara Brunei Darussalam.
Melangkah maju ke hadapan, Baginda dan Tuan Yang Terutama menegaskan komitmen masing-masing untuk mengukuhkan dan meningkatkan lagi hubungan dua hala kepada tahap Enhanced Partnership melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Republik India ke Brunei.
Di samping itu, kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk perkembangan di ASEAN termasuk Myanmar, perubahan iklim, perkembangan di Palestin-Israel dan perkembangan di Rusia-Ukraine.
Berangkat sama semasa mesyuarat itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Setelah tamat mesyuarat dua hala tersebut, satu kenyataan bersama untuk meningkatkan hubungan dua hala di antara Brunei dan India kepada tahap Enhanced Partnership telah dikeluarkan.
MAJLIS PENANDATANGANAN MOU
Sejurus selepas itu, Baginda Sultan bersama-sama Tuan Yang Terutama menyaksikan majlis penandatanganan MoU antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan kerajaan Republik India iaitu Cooperation and Telecommand Station for Satellite and Launch Vehicles and for Cooperation in the Field of Space Research, Science and Applications.
Majlis penandatanganan tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri Hal Ehwal Luar India, TYT Dr Subrahmanyam Jaishankar bagi pihak kerajaan India.
MAJLIS PERSANTAPAN RASMI
Pada sebelah tengah hari, Baginda Sultan berangkat bersama Perdana Menteri Republik India berserta kerabat diraja dan rombongan rasmi Republik India bagi menghadiri Majlis Persantapan Rasmi yang berlangsung di Baiturrahmah, Istana Nurul Iman.
Majlis persantapan dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengurniakan titah yang diikuti dengan ucapan balas daripada Tuan Yang Terutama.
Negara Brunei Darussalam dan Republik India mempunyai kerjasama yang kukuh dalam sektor-sektor utama termasuk perdagangan, tenaga, pertahanan, kesihatan dan pendidikan.
Kerjasama strategik antara Republik India dan ASEAN juga menjadi asas yang kuat untuk memperluaskan lagi hubungan dua hala tersebut.