Sunday, May 5, 2024
29 C
Brunei

    -

    Malaysia lancar pasaran karbon sukarela

    KUALA LUMPUR, 30 NOV – Malaysia akan melancarkan Pasaran Karbon Sukarela (VCM) yang ditunggu-tunggukan pada 9 Disember ini untuk menangani perubahan alam sekitar dan memacu matlamat kewangan mampan negara. 

    Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican berkata pengawal selia memainkan peranan penting dalam memperkenalkan produk baharu dan juga dalam usaha memulakan inisiatif pasaran ke arah pembiayaan mampan.  

     VCM adalah inisiatif di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan Kementerian Alam Sekitar dan Air, manakala Bursa Malaysia Bhd diberikan mandat untuk melaksanakan VCM Exchange.

    Johan berkata meningkatkan kewangan mampan adalah satu langkah yang tepat pada masanya bagi Malaysia, yang mana negara masih lagi berada di peringkat awal dalam usahanya untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050 dan mengekalkan lebih 50 peratus daripada kawasan hutan semula jadinya.

    “Kita sudah tentunya berminat untuk belajar. Banyak lagi yang kita perlu lakukan,” katanya semasa hari kedua Program Kepimpinan Kewangan Hijau Global anjuran Bank Dunia dan Beijing Institute of Finance and Sustainability, di sini, hari ini. Beliau berkata negara perlu menyediakan insentif ekonomi yang perlu kepada semua pemegang kepentingan terutamanya sektor swasta, untuk mengambil tindakan secara kolektif.  

    Menurutnya, kerajaan sendiri telah pun mula menjejaki belanjawannya menerusi komponen Matlamat Pembangunan Mampan.

    “Saya fikir elemen penting perbelanjaan awam adalah bagaimana awda juga menyediakan pembiayaan bukan hanya dalam program kerajaan sahaja tetapi juga dalam program secara perkongsian menerusi geran bersyarat,” katanya. 

    Johan berkata langkah-langkah yang diambil kerajaan membolehkan Malaysia mengenal pasti jurang yang ada dan ia juga boleh mengukuhkan dasar pemerolehan hijau kerajaan pada masa depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pakistan catat hujan paling tinggi pada April dalam tempoh lebih 60...

    ISLAMABAD, 5 MEI - Pakistan mengalami bulan April paling banyak menerima curahan hujan sejak 1961, iaitu dua kali ganda hujan daripada biasa untuk bulan...