Monday, May 20, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    Mbappe ingatkan pasukan selepas kekalahan

    MARSEILLE, 26 MAC – Kapten Perancis, Kylian Mbappe berkata kekalahan pada perlawanan persahabatan dengan Jerman sepatutnya menjadi amaran menjelang Euro 2024, yang mana Les Bleus adalah antara pesaing utama.

    “Kami perlu sedar bahawa jika kami bermain seperti itu dalam perlawanan besar, kami akan menghadapi kekecewaan yang sangat besar,” kata Mbappe kelmarin, selepas kekalahan 2-0 pada Sabtu lepas menentang tuan rumah Kejuaraan Eropah di Lyon.

    Jerman mendahului seawal lapan saat melalui jaringan Florian Wirtz, diikuti jaringan kedua sejurus selepas separuh masa kedua hasil Kai Havertz.

    Ia merupakan kekalahan kedua Perancis sejak tewas kepada Argentina pada perlawanan akhir Piala Dunia 2022 dan satu lagi kekalahan 2-1 dalam perlawanan persahabatan menentang Jerman September lalu.

    “Kini permainan itu sudah berakhir dan objektif kami adalah untuk menunjukkan reaksi. Kami perlu sedar bahawa kami tidak bermain dengan cukup baik,” tambah Mbappe, yang bercakap di Marseille, di mana Perancis akan menentang Chile dalam satu lagi perlawanan persahabatan.

    Aksi Kylian Mbappe (tengah) dalam perlawanan bola sepak persahabatan antara Perancis dan Jerman, dekat Lyon, pada 23 Mac lalu. – AFP

    Bintang Paris Saint-Germain itu juga mengingatkan bahawa Perancis hanya menang sekali dalam enam perlawanan sebelum Piala Dunia lalu, sebelum mara ke final pertandingan itu.

    Tetapi, dalam Euro 2021, Perancis berada dalam prestasi yang baik dengan hanya tewas pada pusingan 16 terakhir menerusi penentuan penalti kepada Switzerland.

    “Ada perlawanan sebelum kejohanan bermula, kami telah menerima kekalahan tetapi kemudian bermain dengan baik dalam pertandingan itu sendiri.

    “Terdapat juga pertandingan di mana kami memenangi perlawanan persahabatan sebelumnya tetapi akhirnya tersingkir dan pulang awal,” tambah Mbappe.

    “Perlawanan persahabatan memberi petunjuk tetapi bukan sepenuhnya. Buktinya ialah kami tewas dua kali kepada Jerman dalam perlawanan persahabatan tetapi saya tidak pernah tewas kepada mereka dalam perlawanan kompetitif,” tambahnya lagi.

    Dalam saingan Euro 2024 nanti, Perancis berada dalam kumpulan bersama Belanda, Austria dan Wales atau Poland yang akan ditentukan menerusi penentuan kelayakan play-off. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    17,000 warga emas di Jepun meninggal dunia sendirian di rumah

    TOKYO, 19 MEI - Satu tinjauan terkini oleh Agensi Polis Kebangsaan Jepun (NPA) menunjukkan bahawa 17,034 warga emas yang tinggal bersendirian telah meninggal dunia...