Thursday, May 9, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Tze Yong masih berpeluang realisasi misi Olimpik Paris

    KUALA LUMPUR, 26 MAC – Pemain perseorangan Malaysia, Ng Tze Yong masih berpeluang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 di Paris sekiranya berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, pada 9 hingga 14 April ini.

    Walaupun Tze Yong masih menjalani proses pemulihan susulan pembedahan di bahagian belakang baru-baru ini, namun Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata kesemuanya bergantung kepada keinginan pemain berkenaan sama ada benar-benar mahu beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu atau sebaliknya.

    “Terpulang kepada Tze Yong sama ada dia yakin atau tidak untuk bermain di BAC, jika tidak lebih baik fokus kepada Piala Thomas 2024 dan lupakan Olimpik.

    “Tze Yong perlu all out kerana laluan untuk ke Olimpik dia perlu muncul juara (BAC),” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

    Laluan pemain berusia 23 tahun itu untuk ke Paris 2024 kini di ambang bahaya selepas tersingkir daripada carta kedudukan 16 pemain teratas dalam Race to Paris yang dijangka berakhir pada 28 April ini.

    Sementara itu, pemain profesional, Lee Zii Jia berada dalam kedudukan terbaik untuk beraksi buat kali kedua di pentas Olimpik selepas Tokyo 2020 apabila menduduki tangga ke-10 dalam carta Race to Paris dengan memungut 68,296 mata.

    Sesebuah negara hanya boleh menghantar dua wakil bagi acara perseorangan, jika kedua-dua pemain berada pada kedudukan 16 teratas dalam ranking Race to Paris.

    Temasya Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

    Sementara itu, Rexy berkata Tze Yong ketika ini belum berupaya untuk melompat manakala pergerakannya di dalam gelanggang masih terbatas. – Bernama

    Ng Tze Yong semasa beraksi menentang pemain Brunei Kah Kit Kan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC). – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...