Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat APEC EMM utamakan pertumbuhan mampan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof sedang menghadiri Mesyuarat Menteri Tenaga Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC EMM) ke-14 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Lima, Peru, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPM, di sini, turut mengiringi Yang Berhormat Pehin ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Washington, D.C., Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Haji Ali dan pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di JPM.

    Dengan tema Empower. Include. Grow., antara keutamaan bagi APEC EMM ke-14 ialah pertumbuhan yang mampan bagi pembangunan berdaya tahan, yang mana APEC berhasrat untuk terus membuat kemajuan dalam peralihan tenaga dan ke arah aktiviti ekonomi yang lebih nyahkarbon di rantau Asia Pasifik.

    Mesyuarat telah dikendalikan oleh tuan rumah Peru sebagai Pengerusi APEC 2024 dan dipengerusi oleh Menteri Tenaga dan Perlombongan Peru, Tuan Yang Terutama Romulo Mucho Mamani.

    Topik-topik utama dalam perbincangan termasuk memajukan peralihan tenaga di seluruh rantau APEC, kepentingan akses tenaga dalam mempromosikan pertumbuhan mampan serta perbincangan dasar dan tindakan bagi pembangunan hidrogen untuk menggalakkan pertumbuhan yang berterusan di negara-negara APEC.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama TYT Dato Paduka Haji Serbini dan pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di JPM semasa menghadiri mesyurat tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERDANA MENTERI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyumbang kepada Perbincangan Menteri. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERDANA MENTERI

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi juga mempunyai peluang untuk menyumbang kepada Perbincangan Menteri bertajuk, Menggalakkan Peralihan Tenaga di seluruh kawasan APEC dan Dasar dan tindakan untuk pembangunan hidrogen di negara-negara APEC untuk mempromosikan pertumbuhan yang mampan, di mana Negara Brunei Darussalam telah berkongsi usaha negara dalam memajukan agenda peralihan tenaga dan juga mengesahkan sokongannya dalam kerjasama berterusan dan mengalu-alukan kemajuan dalam industri hidrogen global.

    Selain perbincangan mengenai usaha yang dilakukan oleh ekonomi APEC, Brunei Darussalam juga membangkitkan mengenai perubahan iklim serta mengenal pasti peluang dalam mencapai komitmen Net Zero negara bagi 2050.

    Yang Berhormat Pehin juga berkesempatan mengadakan sesi rangkaian dengan ketua perwakilan lain dari ekonomi APEC, termasuk Timbalan Perdana Menteri Malaysia, TYT Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, dan TYT Romulo Mucho Mamani.

    Mesyuarat berkenaan juga telah mempersetujui dua dokumen penting iaitu Pernyataan Lima dan Panduan Dasar APEC untuk membangunkan dan melaksanakan rangka kerja dasar hidrogen rendah karbon di Asia Pasifik.

    Pernyataan Lima mengesahkan komitmen ekonomi APEC untuk meningkatkan kerjasama dalam menyokong ekonomi rendah karbon dan peralihan tenaga.

    Objektif keseluruhan Panduan Dasar adalah bagi menyokong komitmen untuk mengamalkan tenaga yang boleh diperbaharui dan teknologi lain terhadap alam sekitar, sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga yang berkelanjutan.

    Ia juga bertujuan untuk menjadi dokumen hidup yang akan memberi nasihat kepada kumpulan kerja APEC mengenai kawasan kerjasama yang berpotensi untuk mempromosikan pembangunan yang konsisten ekosistem hidrogen bersih dan rendah karbon di rantau ini.

    APEC merupakan sebuah forum serantau yang ditubuhkan pada 1989 dengan matlamat mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau Asia Pasifik melalui integrasi ekonomi yang lebih besar, kerjasama teknikal serta perdagangan bebas dan terbuka dan pelaburan.

    Kerjasama tenaga merupakan elemen utama agenda multilateral APEC. Ekonomi ahli APEC menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada penggunaan tenaga dunia, hampir separuh daripada semua perdagangan, dan GDP.

    APEC EMM yang seterusnya akan diadakan di Republik Korea pada 2025.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda