Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Parti pembangkang Bangladesh tuntut pilihan raya baharu

    DHAKA, 18 SEPT – Ribuan aktivis dan pemimpin parti pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) kelmarin berhimpun di ibu kota negara itu untuk menuntut peralihan demokrasi melalui pilihan raya ketika kerajaan sementara masih belum menggariskan jadual masa bagi pengundian baharu.

    Para penyokong berkumpul di hadapan ibu pejabat BNP di Dhaka, di mana mereka melaungkan slogan menuntut pilihan raya baharu.

    Kerajaan sementara yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus telah memperkenalkan beberapa ranca-ngan untuk memperbaharui pelbagai sektor negara, daripada Suruhanjaya Pilihan Raya kepada institusi kewangan. Tetapi parti politik utama, termasuk BNP, yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Khaleda Zia, mahukan pilihan raya baharu diadakan dalam masa terdekat.

    Yunus mengambil alih tampuk pimpinan selepas bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina melarikan diri dari negara itu semasa pemberontakan besar-besaran bulan lalu, menamatkan tempoh 15 tahun pemerintahannya.

    Protes bermula pada Julai dan berubah menjadi gerakan anti-kerajaan. Tentera yang berkuasa di negara itu memainkan peranan penting dalam mengendalikan pentadbiran, yang menghadapi beberapa cabaran termasuk ketidakpuasan pekerja dalam sektor industri pakaian, ketidakstabilan undang-undang dan ketenteraman, serta ekonomi yang tidak menentu.

    Dalam ucapannya baru-baru ini, Yunus tidak menggariskan tarikh pilihan raya kebangsaan baharu akan diadakan dan berkata mereka akan kekal berkuasa selagi rakyat mahu mereka kekal. Sekumpulan editor surat khabar baru-baru ini berkata bahawa Yunus harus menyelesaikan reformasi penting terlebih dahulu dan kekal berkuasa selama sekurang-kurangnya dua tahun. – AP

    Penyokong BNP melaungkan slogan semasa perhimpunan menuntut peralihan demokrasi melalui pilihan raya di Dhaka, Bangladesh, pada 17 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda