BRUSSELS, 3 DIS – Salah seorang pengedar dadah antarabangsa Belgium yang paling dikehendaki, Othman El Ballouti, telah ditangkap di Dubai, kata sumber kehakiman hari ini, sambil menambah Brussels akan menuntut dia dihantar pulang ke negaranya.
El Ballouti telah dituduh menjalankan rangkaian penyeludupan dadah utama di pelabuhan Belgium Antwerp – salah satu pintu masuk dadah utama Eropah – dan menjadi sasaran sekatan Amerika Syarikat (AS).
“Kami telah menahannya, dan kami akan cuba untuk membantu proses penghantaran pulang,” kata sumber Belgium itu kepada AFP.
Belgium dan Emiriah Arab Bersatu menandatangani perjanjian pemulangan penjenayah pada 2021.
Ramai pengedar dadah dipercayai telah bersembunyi di Dubai selepas pasukan penyiasat Belgium, Belanda dan Perancis pada 2019 memintas sistem rangkaian komunikasi sulit Sky ECC yang digunakan oleh penyeludup.
“Terdapat beberapa kes di mana Belgium meminta untuk memulangkan penjenayah ke negara asal,” kata sumber itu mengenai El Ballouti – tokoh terkenal dalam dunia jenayah Belgium yang mana anak saudara perempuannya berusia 11 tahun dilaporkan terbunuh dalam satu tembakan di Antwerp tahun lepas.
Tahun lalu, dia telah dikenakan sekatan oleh Perbendaharaan AS kerana didakwa menjalankan organisasi jenayah antarabangsa dan pengubahan wang haram. – AFP